KETUA Penerangan Pemuda UMNO Kedah, Syed Mohd Johan Rizal Syed Unan Mashri mendakwa tekanan kerajaan Pakatan Harapan (PH) bakal menjejaskan motivasi dan mengurangkan produktiviti penjawat awam.

Menurutnya Mohd Johan, tindakan kerajaan untuk memansuhkan manfaat dan kebajikan yang diperoleh penjawat awam menghilangkan keistimewaan jawatan itu.

“Jika skim pencen dihapuskan, hilanglah keistimewaan penjawat awam, antaranya pinjaman perumahan dan kenderaan pada kadar faedah rendah serta gaji konsisten.

“Masa depan penjawat awam akan menjadi tidak stabil kerana berdepan dengan risiko penamatan kontrak,” katanya.

Mohd Johan berkata, pihaknya akan menentang cadangan kerajaan ini yang disifatkan tidak berperlembagaan dan menggesa ia tidak diteruskan serta mengekalkan skim perkhidmatan lantikan tetap dan berpencen.

“Sudahlah mereka hilang keistimewaan dalam kerajaan, malah berdepan pula tidak kestabilan ekonomi dan kurang keyakinan jika mahu lakukan pinjaman dengan bank.

“Gaji mungkin berubah mengikut kontrak atau ditamatkan kontrak dan pasti beri impak kepada institusi perbankan dalam meluluskan pinjaman,” katanya.

Dalam pada itu, beliau berkata, Pemuda UMNO Kedah akan berusaha menjadi saluran menyuarakan bantahan kaki tangan kerajaan yang tidak boleh menyuarakan hasrat hati secara terbuka.

“Kita mahu kerajaan pertingkatkan kemudahan, imbuhan, perlindungan keselamatan supaya produktiviti meningkat.

“Rakyat menikmati perkhidmatan kelas pertama, bukan kerajaan yang anggap penjawat awam umpama beban atau musuh,” katanya.

Selain itu beliau berkata, ketika pemerintahan Perdana Menteri, Tun Abdullah Ahmad Badawi dan Datuk Seri Najib Tun Razak pelbagai usaha dilakukan dalam memperkasakan perkhidmatan awam, namun, era Tun Dr Mahathir Mohamad kini seakan mengambil langkah ke belakang serta membelakangi Perlembagaan Negara, Perkara 147(1) berkaitan isu pencen.

“Mula-mula kenaikan gaji diumumkan kerajaan BN untuk kakitangan kerajaan dibatalkan, kemudian mahu kecilkan perkhidmatan awam dengan alasan staf terlalu besar dan tidak baik untuk negara.

“Selepas itu, imbuhan menyambut perayaan dikurangkan, terbaharu mahu menamatkan skim pencen bagi lantikan 2020 digantikan dengan lantikan kontrak.

“Alasannya bayaran pencen merugikan kantung kerajaan,” katanya.

Mohd Johan turut menzahirkan kekesalan apabila sikap kerajaan PH yang seolah menganggap 1.7 juta kaki tangan kerajaan seperti musuh dan menyifatkan kononnya rakyat masih setia dengan kerajaan BN terdahulu dan perlu diberikan tekanan. – 10 September 2019.

Leave a Reply

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.