KETUA Pemuda Umno Wilayah Persekutuan, Mohamed Nizham Abdullah Hamdi meminta kerajaan memberi penjelasan berkenaan khabar angin mengatakan sebuah entiti berkepentingan Bumiputera akan bergabung dengan syarikat hartanah swasta dikuasai bukan Bumiputera.

Menurut Nizham, sekiranya benar perkara itu berlaku, secara tidak langsung mencalarkan kepentingan Bumiputera dalam syarikat berkaitan kerajaan (GLC) berkenaan.

“Kita hendak tanya mengenai penggabungan UEM Sunrise Bhd (UEMS) dan Eco World Development Group Bhd (Eco World). Kononnya ia akan berlaku pada bila-bila masa, adakah perkara ini benar,” soalnya.

Nizham berpendapat walaupun penggabungan itu tidak salah di sisi perundangan negara, namun menzahirkan kebimbangannya mengenai kedudukan Bumiputera dalam entiti berkenaan.

“Kita khuatir kerana seolah-olah kerajaan pada hari ini mahu membuat penjualan dan penggabungan besar-besaran seperti jualan murah. Ini merupakan entiti Bumiputera yang harus dijaga.

“Untuk apa penggabungan ini kerana UEM sendiri mendapat dana dari Permodalan Nasional Berhad (PNB). Mungkinkah ada tangan ghaib untuk mereka rampas atau jual sewenang-wenangnya pegangan Bumiputera,” katanya.

Nizham berkata, berdasarkan maklumat diterimanya, beliau tidak menolak kemungkinan terdapat sekurang-kurangnya lima syarikat GLC Bumiputera lain yang berkemungkinan diambil alih.

“Kita akan bongkarkan lebih besar lagi dan kes ekonomi Bumiputera yang cuba untuk dirampas. Pada masa sama juga kita tidak akan tutup dan tunduk. Selepas ini, kita akan buat laporan polis,” katanya.

Sebelum ini, Majlis Tindakan Ekonomi Melayu memaklumkan tentang penamatan kontrak 33 syarikat bumiputera yang membekal perabot ke pejabat kerajaan di seluruh negara.

Bahkan, sejak mengambilalih kerajaan pusat, kerajaan DAP-PH telah menjual pelbagai aset syarikat GLC atas alasan pemulihan.

Hakikatnya, dalam tempoh tidak sampai dua tahun, kerajaan PH yang dikuasai DAP melakukan banyak tindakan yang dikatakan sebagai usaha melemahkan ekonomi syarikat bumiputera.

Oleh itu, kempen ‘Utamakan Produk Muslim’ dilihat sebagai tindakan yang wajar dalam usaha melawan usaha rakus kerajaan DAP-PH ini. – 11 September 2019.

Leave a Reply

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.