BEKAS pengerusi PKR Johor, Hassan Abdul Karim meminta PH menghormati kerjasama politik yang bakal berlaku antara UMNO-PAS.

“Selagi UMNO-PAS bergerak secara sah dan aman mengikut undang undang negara dan undang undang pilihan raya yang ada sekarang, maka PH yang mendukung kedaulatan undang undang dan keluhuran perlembagaan harus menghormati dan mengalu-alukan kerjasama UMNO-PAS,” katanya dalam suatu kenyataan.

Hasan yang juga Ahli Parlimen Pasir Gudang mengingatkan PH supaya jangan main kotor, tidak beretika dan anti demokrasi. Jangan haramkan UMNO kerana hal hal remeh temeh dan teknikal.

Beliau menggesa PH menyambut cabaran kerjasama politik UMNO-PAS dengan semangat demokrasi liberal yang telah diterima semua pihak termasuk PAS- Parti Islam selama lebih 60 tahun melalui 14 kali pilihan raya umum.

Baginya, politik demokrasi liberal yang diamalkan di Malaysia adalah satu pertandingan permainan angka. Siapa dapat jumlah banyak mengatasi lawannya, maka dialah yang jadi pemenang.

Menurut Hasan jika PH terus jujur dan ikhlas untuk menjadi blok politik yang mempunyai dasar sederhana bersifat inklusif, menolak politik sempit kaum dan agama, mengutamakan isu sosio-ekonomi rakyat, maka mereka akan diterima untuk terus jadi kerajaan dalam PRU15 akan datang.

“Untuk mengekalkan kemenangan itu, maka cakap-cakap dan tindakan selama lebih setahun setengah PH memerintah seperti: manifesto pilihan raya sendiri dilanggari, kata kata yang menyatakan manifesto pilihanraya bukan kitab suci, dan pelbagai pusingan-U dalam membuat keputusan utama dasar negara hendaklah dihentikan.”

“Minta maaflah kepada rakyat pelbagai kaum dan agama, tua dan muda dari semua sektor dan lapisan yang telah berjaya menumbangkan BN Najib yang rasuah dan menaikkan kerajaan PH yang menjanjikan perubahan dan harapan,” tegur Hasan.

Hasan juga menyatakan bahawa dalam PRU15 akan datang ada tiga pengubah permainan.

Yang pertama ialah kerjasama politik UMNO-PAS. Yang kedua ialah pendaftaran pengundi baru secara automatik. Yang ketiga ialah umur layak mengundi 18 tahun.

Oleh hal yang demikian, semua parti politik akan belayar di perairan yang baru dan berbeza. Siapa yang bijak akan memperoleh labanya. – 11 September 2019.

Leave a Reply

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.