PEMIMPIN DAP menyifatkan kempen Beli Produk Muslim Bumuptera Dahulu (BMBF) sebagai usaha yang sia-sia dan perlu dihentikan.

Ketua Menteri Pulau Pinang, Chow Kon Yeow berkata, kempen yang dilancarkan Gerakan Pembela Ummah (UMMAH) itu juga tidak produktif kerana ianya tidak baik untuk ekonomi dan keharmonian masyarakat.

“Saya dimaklumkan bahawa kempen itu dibatalkan tetapi jika ia masih aktif maka ia harus ditamatkan kerana ia tidak baik untuk ekonomi.

“Jika anda bercakap tentang mempromosikan produk Bumiputera, tiada siapa yang akan membantahnya tetapi apabila anda bercakap mengenai pemulauan produk bukan Islam maka ia akan membuahkan hasil yang sebaliknya,” katanya.

Kon Yeow juga meminta UMMAH bertanya pada diri sendiri tentang keperluan meneruskan kempen itu.

“Biarkan mereka (penganjur kempen) memberi alasan mengapa ia perlu diteruskan.

“Kita merasakan bahawa ia tidak perlu kerana seperti yang kita katakan kempen itu tidak baik bagi ekonomi dan keharmonian masyarakat,” katanya.

Kempen BMBF dilancarkan UMMAH pada Ahad lalu dengan tujuan menaikkan kuasa beli umat Islam di Pulau Pinang dan pada masa yang sama, membantu komuniti perniagaan Islam di negeri ini.

Pulau Pinang dipilih kerana negeri ini mempunyai ekosistem perniagaan yang baik dan salah sebuah bandar terbesar di utara. – 11 September 2019.

Leave a Reply

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.