SELURUH umat Islam di negara ini digesa untuk terus menyokong usaha memperkasa ekonomi umat Islam.

Ia selaras dengan kempen yang mula tular iaitu kempen membeli barangan Muslim.

Menurut Mufti Perak, Tan Sri Harussani Zakaria, Islam menuntut umatnya untuk berusaha memperkasa ekonomi dengan mengeluarkan dan membekalkan produk buatan sendiri.

Menurutnya, perkara itu penting kerana umat Islam lebih mengetahui hukum-hakam dan prinsip-prinsip penyediaan sesuatu produk tersebut.

“Konsep ta’awun atau tolong-menolong merupakan perkara asas dalam agama Islam termasuk lah dalam jual beli,”

“Konsep ini mempunyai kebaikan dan falsafah tersendiri dalam membangunkan serta menjaga kepentingan ekonomi umat Islam,”

“Kempen Buy Muslim First (BMF) yang diketengahkan dalam masyarakat negara ini adalah implementasi daripada konsep ta’awun yang bertujuan memperkasa ekonomi umat Islam di negara ini,” katanya.

Menurut Harussani, umat Islam di negara ini perlu bersama-sama menjayakan agenda memperkasakan ekonomi umat Islam dengan berusaha bersungguh-sungguh membeli dan menyokong produk Muslim.

“Marilah kita merealisasikan perintah ALLAH tersebut supaya kita semua dilimpahi naungan rahmat dan kasih sayang-Nya,” katanya.

Terdahulu, menteri Kabinet dalam satu mesyuarat jemaah Menteri mengecam kempen membeli barangan Muslim.

Menurut satu sidang media yang dikeluarkan Jabatan Perdana Menteri, Kabinet bersepakat menyatakan kempen ini adalah satu tindakan ‘pendek akal’ dan boleh merosakkan perpaduan nasional. – NTHQiBord, 11 September 2019.

Leave a Reply

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.