NAIB Presiden UMNO, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin mempersoalkan Tun Dr Mahathir Mohamad yang bersikap double standard dalam isu penyatuan ummah antara UMNO dan PAS.

Tun Mahathir sebelumnya meminta PAS memohon maaf terlebih dahulu kepada UMNO kerana mendakwa parti Islam itu pernah mengkafirkan UMNO suatu ketika dahulu.

“Semasa Tun dan DAP mahu bekerjasama, adakah syarat meminta maaf yang serupa telah Tun letakkan kepada mereka?”

“Atau adakah Tun sendiri mengambil pendekatan berjiwa besar dengan meminta maaf kepada Lim Kit Siang dan DAP secara umum atas segala gelaran cauvinis, rasis dan kata-kata buruk yang Tun lemparkan kepada mereka sebelum ini sebelum Tun kembali mendakap mereka?” soal Khalid.

Menurut Khalid, begitu juga apabila Tun mahu bekerjasama dengan Mohamad Sabu (Mat Sabu) dan PAN.

Katanya, adakah Tun meletakkan syarat yang sama kepada beliau yang pernah mengeluarkan ungkapan ‘penyangak’ kepada Tun? Atau adakah Tun sendiri pernah meminta maaf kepada beliau atas segala gelaran buruk yang Tun gunakan ke atas Mat Sabu?

“Perkara yang sama juga terpakai dalam kes Tun dan Datuk Seri Anwar Ibrahim dan PKR,” kata Khaled.

Khalid juga hairan perhatian yang tinggi diberikan Tun Mahathir kepada kedua-dua parti Melayu terbesar itu. Bahkan, Tun Mahathir memberikan pelbagai saranan dan nasihat.

“Benarlah nasihat adalah perkara yang baik. Akan tetapi, buat masa ini, saya yakin UMNO dan PAS tidak memerlukan saranan dan nasihat dari Tun Mahathir. Khususnya dalam urusan dalaman kami dan bagaimana kami akan kembali menyantuni orang Melayu dan rakyat Malaysia keseluruhannya.”

“Biarlah kami cari kembali kekuatan kami dan bangkit sendiri dengan cara kami, formula kami,” katanya.

Khalid juga menyatakan bahawa pihaknya sedar akan segala perselisihan antara UMNO dan PAS.

“Kami ingat semuanya. Apa yang tidak pernah kami hamburkan kepada sesama kami sebelum ini?”

“Bukan setakat ungkapan ‘kafir’, tetapi pendukung UMNO dan PAS pernah berpecah sehingga mengasingkan masjid dan imam dalam solat. Kami ingat semua itu. Tun juga sebahagian dari episod gelap tersebut.”

“Sesungguhnya, semua itu sangat kami malu dan kesalkan. Semua itu perkara silam dan telah kami tinggalkan di belakang. Kini, kamu mahu menjadi lebih baik. Kami sedar, sampai bila kita harus terus bersengketa?” katanya lagi.

Namun, menurut Khaled, demi bangsa, agama dan negara ini, UMNO dan PAS akan terus bersatu. Kedua-dua pihak telah melupakan segala persengketaan. Yang ada, hanya keyakinan dan iltizam untuk bersama-sama membina masa depan yang lebih baik untuk semua.

Pada 14 September ini, akan berlangsung majlis menandatangani piagam perpaduan ummah di PWTC. Peristiwa ini dijangka menjadi suatu peristiwa bersejarah dalam politik tanah air. – 11 September 2019.

1 COMMENT

  1. Biasa lah Mahadir. Siapa yang tidak kenal politik Mahathir. Kucali yang lahir tahun 70an. masa Mahadir PM ke 4 Umur baru 12. Mungkin tidak tahu sejarah Mahathir.

Leave a Reply

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.