AJARAN Syiah tidak boleh disebar dan diamalkan di Malaysia walaupun diadakan secara tertutup, kata Mufti Perak Tan Sri Harussani Zakaria.

Katanya, beliau menyokong tindakan pihak berkuasa menyerbu dan menahan pengikut fahaman Syiah baru-baru ini.

Menurut Harussani, fahaman Syiah jelas menyimpang daripada fahaman Sunnah yang diamalkan majoriti rakyat Malaysia.

“Kita Malaysia tidak iktiraf langsung fahaman lain seperti ajaran Syiah, kita tidak benarkan masyarakat kita amalkan ajaran Syiah atau Syiah dikembangkan di negara ini,” katanya menurut aporan sebuah portal berita.

Harussani berkata tidak ada mana-mana pengikut agama di dunia ini yang akan mengaku mereka salah.

“Semua agama yang ada dalam dunia ini tidak pernah mengaku dia sesat, walaupun dia sesat. Saya nasihat jangan kita cari benda yang sudah dihukum ribuan tahun salah, tiba-tiba kita nak terima (Syiah), kenapa?

“Sebab sekarang kita berada dalam keadaan yang cukup selamat, kenapa nak tukar fahaman (di Malaysia), isu ini timbul sebab ada orang kita mudah terpengaruh dan ada sifat ingin menunjuk,” katanya.

Sebelum ini Mufti Pahang, Datuk Seri Abdul Rahman Osman yang menegaskan Syiah tidak sepatutnya diberi hak untuk disebarkan di Malaysia kerana Muzakarah Jawatankuasa Fatwa Kebangsaan pada 1996 memutuskan sebarang ajaran mengenai agama Islam selain ajaran Sunnah adalah bercanggah dengan hukum syarak.

Rahman berkata, ajaran Syiah boleh pecah-belahkan masyarakat Islam di Malaysia jika ia tidak dikawal secara bersungguh.

Beliau juga meminta golongan itu tidak diberi hak di Malaysia kerana umat Islam di negara ini berpegang kepada fahaman Ahli Sunnah Wal Jamaah bermazhab Shafie.

“Sedangkan mazhab lain kita tidak benarkan di Malaysia inikan pula ajaran Syiah. Fahaman ini mengelirukan jika diamal di Malaysia.

“Saya menyeru pihak berkuasa melakukan pemantauan secara bersungguh dalam membanteras penyebaran Syiah di Malaysia kerana isu sama berulang menjelang Hari Asyura setiap tahun,” katanya.

Pendirian kedua-dua mufti itu berbeza dengan pendapat Mufti Pulau Pinang bahawa pengikut ajaran Syiah sepatutnya diberi kebebasan untuk mengamalkan kepercayaan mereka selagi mereka tidak menyebarkan kepada umat Islam lain yang berpegang kepada aliran Sunnah.

“Kalau penganut semua agama selain Islam dibenarkan mengamalkan agama masing-masing di tempat-tempat tertutup, kenapa pula pengikut Syiah perlu dilarang? Kita mesti konsisten dan tidak memilih sesuka hati saja,” katanya. – 11 September 2019.

1 COMMENT

Leave a Reply

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.