ISU kafir antara PAS dan UMNO bukan kekangan untuk meneruskan agenda penyatuan ummah kerana ianya sudah selesai, kata Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi.

Presiden UMNO itu berkata, isu berkenaan tidak pernah menjadi kekangan bagi kedua-dua parti menganjurkan program Himpunan Penyatuan Ummah di Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC) yang berlangsung selama dua hari bermula esok.

“Masalah itu sudah selesai dan kita tidak pernah menimbulkan perkara itu sebagai kekangan terhadap program Himpunan Penyatuan Ummah ini,” katanya.

Ahmad Zahid mengulas mengenai kenyataan Perdana Menteri, Tun Mahathir Mohamad yang meminta PAS menarik balik kenyataan yang melabelkan UMNO sebagai kafir sebelum kedua-dua parti itu memeterai piagam, Sabtu ini.

Jelas Dr. Mahathir, amanat Presiden PAS, Datuk Seri Abdul Hadi Awang masih relevan kecuali beliau membuat kenyataan rasmi memohon maaf terhadap UMNO.

Sementara itu, Ahmad Zahid menegaskan, Pakatan Harapan (PH) perlu menyelesaikan isu dalam kalangan mereka terlebih dahulu sebelum meminta mana-mana parti dalam kerjasama baharu yang diwujudkan menjawab perkara yang ditimbulkan mereka.

“Saya berpendapat pakatan mereka juga menghadapi masalah, DAP juga dilabel oleh seorang pemimpin yang ada dalam kerajaan sekarang sebagai sebuah parti cauvinis Cina dan tuduhan itu belim pernah ditarik balik.

“Ada juga parti yang dianggap sebagai tiada ideologi kerana memperjuangkan nasib seseorang, semua itu mesti dijawab oleh mereka sebelum meminta mana-mana parti dalam kerjasama baharu menjawab perkara yang ditimbulkan itu,” katanya. – 12 September 2019.

Leave a Reply

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.