SUSULAN tangkapan ketiga warga China yang memiliki MyKad sah, polis kini memburu saki-baki sindiket mendapatkan dokumen perjalanan dan dokumen pengenalan diri secara palsu.

Sindiket ini pada awalnya dipercayai didalangi pegawai kanan Jabatan Pendaftaran Negara (JPN) Pulau Pinang selepas beberapa tangkapan dibuat melibatkan wanita berusia antara 25 hingga 30 tahun.

Polis memberitahu setakat ini 20 suspek yang ditahan adalah individu yang terbabit dalam membuat, memperoleh, memberi, menjual dan memiliki satu dokumen perjalanan diri palsu dengan tujuan memudahkan aktiviti keluar dan masuk ke negara ini oleh mereka yang bukan warganegara Malaysia atau permastautin tetap (PR).

Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Bukit Aman, Datuk Huzir Mohamed, berkata semua 20 suspek terbabit dipercayai terbabit dalam pengeluaran tiga MyKad.

“Berdasarkan siasatan dijalankan pada masa ini, terdapat lapan lagi MyKad palsu yang dimiliki oleh warga asing masih belum dapat dikesan.

“Justeru, siasatan lanjut sedang dilakukan secara terperinci bagi membolehkan pihak polis mengenal pasti warga asing yang memiliki MyKad berkenaan,” katanya.

Menurut Huzir, modus operandi sindiket berkenaan adalah merupakan ejen sindiket yang mencari warga asing ingin mendapatkan taraf kewarganegaraan Malaysia dan kemudian menghubungi suspek utama yang sudah ditahan iaitu pegawai kanan JPN Pulau Pinang.

“Pegawai berkenaan akan menguruskan sijil kelahiran dan MyKad secara tidak sah.

“Semasa proses mengemas kini data dilakukan, pegawai berkenaan akan mengarahkan beberapa kakitangan JPN lain untuk membantunya.

“Kita tidak menolak kemungkinan kakitangan JPN lain tidak menyedari sama ada rekod yang mereka masukkan adalah sah atau tidak,” katanya.

Selain itu Huzir berkata, sindiket terbabit memperoleh bayaran antara RM100,000 hingga RM600,000 daripada warga asing yang ingin memiliki MyKad, dan ianya bergantung kepada permintaan daripada pihak sindiket.

Sepanjang operasi yang dijalankan oleh Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Bukit Aman dan Polis Kontinjen Pulau Pinang, pihak polis merampas 34 pasport, 11 keping kad pengenalan, lima salinan sijil kelahiran, enam salinan kad pengenalan, tiga borang permohonan kad pengenalan, empat buku daftar pesuruhjaya sumpah, dokumen JPN dan wang tunai lebih RM38,000.

Turut dirampas, 38 unit telefon bimbit, enam komputer riba, 19 pemacu komputer dan enam kereta.

Pada masa ini, semua tangkapan masih direman mengikut Akta Kesalahan Keselamatan (Langkah-langkah Khas) 2012 (SOSMA) selama 28 hari.

Sementara itu, Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) akan menjalankan siasatan berhubung beberapa individu yang ditahan polis berikutan pembongkaran aktiviti penjualan MyKad kepada warga China.

Ketua Pesuruhjaya SPRM, Latheefa Koya berkata, setakat ini pihaknya belum menerima laporan rasmi berhubung perkara tersebut.

Latheefa menjelaskan kes yang membabitkan sindiket seperti itu boleh disiasat jika ada maklumat walaupun tanpa ada laporan rasmi.

“SPRM belum terima aduan rasmi tapi jika ia adalah sindiket kita pasti akan mula siasat.

“Kes berkaitan menjual MyKad atau kad pengenalan bukan perkara baharu tetapi kita perlu tahu apa asasnya.

“Setakat ini kita hanya mengetahui perkara ini melalui media, namun kita tidak semestinya menunggu laporan rasmi.

“Kalau kita ada maklumat jelas kita akan bertindak tetapi setakat ini belum ada maklumat,” katanya – 12 September 2019.

6 COMMENTS

  1. KDN jangan tinggalkan sebarang sudut siasatan mengenai isu MyKad dan Kewarga negaraan ini. Siasat juga kemungkinan Peranti Godam dari luar dan dalam negara yang boleh mengekses sistem komputer dan pengkalan data KDN dan Imigresen. Terlalu banyak kejadian “kemungkinan” sedang berlaku, pertamanya kerosakan sistem komunikasi dan kelolaan Keluar Masuk penumpang di KLIA semasa banjir kemasukan “pelawat” dari negara China !! Dan sekarang sudah tersebar pula beberapa individu rakyat China yang memilikki MyKad tulin!!! Polis juga jangan dengan mudah menyimpulkan isu ini sebagai perkara biasa. Kedaulatan negara dan kuasa Peribumi akan lenyap jika tidak ditangani dengan serius.

  2. Bila rakyat marah jpn pihak jpn kata rakyat tak faham ini lah jadinya jual ic ini serius menggugat keselamatan negara entah beratus ribu ic dijual dalam setahun 2018 harap2 pihak kdn mulakan siasatan menteri dalam negeri bergerak pantau mulakan siasatan dalaman jangan ada yang terlepas . Kamsia ban ban .

  3. JPN perlu lakukan langkah segera menukar kp kepada yg baru dgn ciri2 keselamatan yg baru. Ini mungkin satu cara yg mudah bagi mengenalpasti pemilik kp palsu dari melakukan sebarang access.

  4. Terima kasih kepada PDRM
    Perkara ini kalau tidak heboh JPN masih lagi menafikannya.
    Saya yakin tujuan JPN buat laporan polis supaya polis tangkap pengamal media sosial yang melapor kan perkara berkenaan.tapi sebaliknya yang berlaku.

  5. RAKYAT ADALAH PENGADU,ATASAN JPN JANGAN BERI UGUTAN AKAN AMBIL TINDAKKAN KEPADA PENGADU (SUARA RAKYAT) .MUJUR ADA PDRM…JIKA TDAK NEGARA MUNGKIN DI GADAI OLEH PENGKIANAT DALAMAN JPN.,WALAUPUN HANYA “SEORANG” NAMUN KESANNYA SEPERTI SEBUTIR BOM “ATOM” YANG BOLEH MENGHANCURKAN HIROSHIMA DAN NAGASAKI.

Leave a Reply

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.