TINDAKAN pemimpin Melayu dalam Pakatan Harapan (PH) membantah kempen utamakan produk Muslim Bumiputera (BMBF) hanya menimbulkan persoalan sama ada mereka mungkin dibiayai taikun Cina, kata UMMAH.

Presidennya, Aminuddin Yahaya berkata, konsep yang sama iaitu pembiayaan oleh taikun Cina kepada parti politik Melayu dalam PH mungkin menjadi faktor mereka tidak menyokong kempen BMBF.

“Mereka mungkin terpaksa ikut kehendak peniaga Cina dan keluarkan kenyataan (bantah BMBF).

“Tiada hujah secara lojik akal atau ikut undang-undang serta hukum syarak bahawa kempen ini salah,” katanya kepada NTHQiBord.

Mengulas mengenai tindakan pemimpin DAP cuba mengaitkan Rasullah dengan kempen ini, Aminuddin berkata, langkah itu menunjukkan mereka semakin terdesak untuk menggunakan segala hujah yang ada.

“Ini menunjukkan mereka tidak mampu untuk patahkan kempen dan hujah kita bahawa gerakan ini tidak menyalahi undang-undang.

“Jadi mereka terpaksa menggunakan segala saluran yang ada,” katanya.

Baru-baru ini, pemimpin DAP, Howard Lee cuba menjual nama Rasullah untuk mendesak PAS dan UMNO agar mengecam kempen BMBF.

Howard berkata, pemimpin PAS dan UMNO perlu mengambil teladan daripada cara Rasulullah SAW bermualamat.

Katanya, Nabi Muhammad membenarkan orang Islam berjual-beli dengan peniaga daripada kalangan Yahudi yang bukan Islam ketika baginda berada di Madinah. – NTHQiBord, 12 September 2019.

Leave a Reply

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.