PEGUAM berfahaman liberal dan pro-DAP, Siti Kasim mendakwa Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan (JAWI) bertindak salah dan melanggar undang-undang dalam serbuan satu acara tertutup golongan transgender pada 2016 di Kuala Lumpur.

Semasa serbuan itu, Siti Kasim turut ditahan selepas dituduh menghalang pegawai JAWI,Siti Nor Jihan Saleh@Md Ghazali daripada menjalankan tugasnya pada 3 April, 2016 di Hotel Renaissance.

Disebabkan kejadian itu, Siti Kasim mendakwa dia mengalami kejutan, terseksa jiwa, penderitaan dan penghinaan akibat daripada penahanan tersebut.

Siti juga mendakwa defendan telah melakukan misfeasans pejabat awam dan menahannya secara salah serta melanggar hak kebebasan asasinya di bawah Perlembagaan Persekutuan.

Atas alasan itu, Siti Kasim menyaman JAWI dan 18 pihak lain termasuk, Menteri Agama Datuk Mujahid Yusof Rawa, Majlis Agama Islam Wilayah Persekutuan (MAIWP) dan kerajaan Malaysia.

Baki 14 lagi individu yang disaman adalah kakitangan penguatkuasa agama.

Siti berkata, semua defendan yang menahannya hanya mempunyai bidang tugas dan kuasa untuk menyiasat kesalahan di bawah Akta Kesalahan Jenayah Syariah (Wilayah Persekutuan) 1997.

Dakwanya, semua pegawai yang terlibat dalam serbuan itu tidak mempunyai bidang kuasa dan/ atau kuasa untuk menyiasat kesalahan di bawah Kanun Keseksaan, berhubung dengan acara transgender itu.

Siti mendakwa 14 pegawai penguatkuasa Jawi itu telah menyalahgunakan jawatan mereka apabila melakukan penangkapan yang salah dan melakukan pengurungan yang melanggar undang-undang terhadapnya.

“Di premis itu, plaintif ditahan secara tidak sah selama empat jam.

“Berdasarkan alasan yang dinyatakan di atas, plaintif telah mengalami kerugian dan kerosakan,” katanya. – 12 September 2019.

Leave a Reply

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.