NAIB Presiden PAS, Ustaz Idris Ahmad menyifatkan isu menjual MyKad adalah sesuatu yang cukup berbahaya kepada keselamatan dan kedaulatan negara.

“Apa yang dilaporkan ini sesuatu yang cukup berbahaya kepada keselamatan dan kedaulatan negara.”

“Natijahnya, apabila diberi kewarganegaraan, mereka ini berhak untuk mendapat apa-apa sahaja keistimewaan termasuk hak mengundi dalam pilihan raya,” kata Idris ketika dihubungi.

Perkara ini terbongkar selepas pihak imigresen dapat mengesan seorang individu yang memohon pasport namun langsung tidak tahu berbahasa Melayu.

Kemudiannya didapati individu tersebut adalah warganegara China tetapi memiliki MyKad yang sah.

“Dalang celaka ini mesti diambil tindakan. Ini bukan kes kecil. Maruah dan kedaulatan negara boleh tergadai kerananya.”

“Kita bernasib kali ini kebetulan individu terlibat dapat ditangkap,” kata Idris.

Beliau menggesa suatu suruhanjaya ditubuhkan untuk menyiasat perkara ini sehingga ke akar umbi. Mereka yang terlibat hendaklah ditangkap dan dan dihukum agar dijadikan pengajaran kepada yang lain.

Pada masa yang sama Idris menggesa mana-mana warga asing yang mendapat MyKad melalui pintu belakang ditarik balik dan diambil tindakan.

“Mereka ini perlu dibawa ke muka pengadilan untuk disiasat dari mana memperoleh MyKad tersebut dan kepada siapa bayaran dibuat,” katanya lagi.

Semalam, enam orang termasuk seorang lelaki bergelar Datuk antara enam lelaki yang dihadapkan ke Mahkamah Sesyen Georgetown atas 32 pertuduhan melibatkan sindiket penjualan dokumen pengenalan diri dan sijil kelahiran kepada warga asing palsu dan diubah suai.

Salah seorang tertuduh ialah Penolong Pengarah Jabatan Pendaftaran Negara (JPN) Pulau Pinang, Mohd Faizul Arifin, 34, yang menghadapi dua pertuduhan utama iaitu di bawah Seksyen 26 E Akta Antipemerdagangan Orang dan Antipenyeludupan Migran 2007 (Akta 670).

Tertuduh didakwa membuat penipuan satu dokumen pengenalan diri iaitu sijil kelahiran Malaysia dan kad pengenalan Malaysia atas nama Ewe Chor Beng.

Selain itu, Mohd Faizul yang menghadapi 11 pertuduhan turut berdepan lima pertuduhan mengikut Peraturan 25(1)(i) Peraturan-peraturan Pendaftaran Negara 1990 kerana mengeluarkan lima kad pengenalan atas nama disyaki warga China.

Tertuduh juga menghadapi empat pertuduhan mengikut Seksyen 466 Kanun Keseksaan kerana memalsukan dokumen daftar beranak iaitu sijil kelahiran Malaysia.

Lima yang lain ialah Datuk Lai Chin Wah, 56; Loh Chan Cheong, 34; Chien Guan Chai, 36; Yap Cheng Wah, 44 dan Mohd Faizal Tan Abdullah, 66.

Kelima-lima mereka didakwa atas 11 pertuduhan di bawah Seksyen 26 E Akta Antipemerdagangan Orang dan Antipenyeludupan Migran 2007 (Akta 670) dan 10 pertuduhan membabitkan Seksyen 466 Kanun Keseksaan. – 12 September 2019.

1 COMMENT

  1. Bersatu, PKR dan PAN apa pula tindakan anda dalam hal ini yang boleh menggadai negara. Jangan jadi bisu, Ingat sikit bangsa, negara dan agama mu akan untuk anak cucu kamu.

Leave a Reply

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.