KENYATAAN kumpulan yang mengungkit kisah-kisah lama antara UMNO dan PAS seperti gila talak.

Presiden PAS, Datuk Seri Abdul Hadi Awang berkata, ia umpama suara orang yang sedang ketakutan dan gelisah terhadap apa yang bakal kumpulan ini hadapi.

“Yang mengungkit itu bukan orang Pas dan juga bukan orang UMNO.

“Apa yang berlaku antara PAS dan UMNO biar kita selesaikan dan kita telah selesaikan.

“Orang yang mengungkit itu pun sudah keluar dari PAS dan juga sudah keluar dari UMNO, kata orang gila talak,” katanya.

Beliau yang juga Ahli Parlimen Marang itu memberitahu bahawa mana-mana pihak tidak perlu takut kerana HPU (Himpunan Penyatuan Ummah) dilangsungkan mengikut saluran undang-undang di dalam sebuah negara demokrasi yang menganjurkan kebebasan.

“Sepatutnya mereka gembira dengan penyatuan, ini kerana apabila banyak parti maka banyak berpecah hujah rakyat.

“Gabungan ini membuatkan rakyat semakin bersatu, jangan kita takut kerana kuasa kita.

“Kita kena takut akan tanggungjawab kita kepada rakyat, itu yang penting,” katanya.

Abdul Hadi berkata, perhimpunan tersebut menjurus kepada penyatuan rakyat khususnya orang Melayu di negara ini.

“Inisiatif tersebut tidak meminggirkan masyarakat majmuk.

“Semua pihak tidak perlu bimbang kerana tiada sebarang unsur perkauman diselitkan sebaliknya apa yang berlaku mengikut acuan yang diajar Nabi Muhammad SAW.

“Nabi memulakan penyatuan ummah bersama orang Arab, selepas itu dengan kaum-kaum lain sama ada mereka memeluk Islam atau berada di bawah kepimpinan orang Islam.

“Kita nak hidupkan semula kefahaman ini, ini titik persamaan PAS-UMNO sejak merdeka lagi, dan difahami parti-parti lain seperti MCA dan MIC,” katanya. – 13 September 2019.

Leave a Reply

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.