KIRA-kira 12 tahun dahulu, ketika Bangunan Pejabat Agung PAS di Jalan Raja Laut, Kuala Lumpur mahu dirasmikan, saya menerima tugas sebagai Setiausaha Akhbar kepada Presiden PAS Datuk Seri Tuan Guru Abdul Hadi Awang.

Pejabat Presiden PAS terletak di tingkat empat bangunan berkenaan mengadap Jalan Raja Laut dan nun di seberang sana kelihatan terpacak Bangunan UMNO di PWTC.

Ya, Pejabat Presiden PAS sebenarnya dari satu sudut menghala terus ke PWTC. Malah jika Tuan Guru solat di dalam pejabatnya itu, arah kiblat selari dengan bangunan kemegahan UMNO itu.

Apabila pihak luar terutama wartawan dan wakil media berkunjung ke tingkat empat dan perasan bayangan PWTC itu, saya ketika itu akan berseloroh, ya sengaja bilik Presiden PAS disusun begini supaya kami fokus menghadap UMNO, musuh politik kami ketika itu.

Tetapi itu 12 tahun lalu. Masa bergerak pantas sekali air bah sekali pantai berubah, dan kini lanskap politik sudah berlainan dari dulu.

Ditakdirkan Allah SWT tanggal 13 dan 14 September ini penyokong, ahli dan pimpinan PAS akan menyeberang Jalan Raja Laut dan terus berkerumun PWTC.

Kebanjiran manusia yang dijangka itu bukan lagi berpunca daripada sengketa dan perbalahan politik sebagaimana yang telah dtempuh selama 60 tahun, tetapi ahli-ahli PAS dan UMNO seluruh pelosok tanah keramat dan bertuah ini akan bersapa, bersalam-salaman dan bermuafakat, mengenepikan segala sejarah hitam yang lampau demi membina kekuatan politik Melayu Islam yang semakin terancam dewasa ini.

Kemenangan besar Pakatan Harapan pada PRU ke-14 lalu telah melemahkan kuasa politik Melayu diperingkat kerajaan Persekutuan apabila suara politik bukan Melayu menjadi semakin besar dan dominan khususnya dengan kejayaan luarbiasa parti DAP.

Parti yang mahu menegakkan negara sekular dan berjuang merealisasikan impian mendiang Lee Kuan Yew untuk melahirkan ‘Malaysian Malaysia’ iaitu Malaysia yang sama rata dan setaraf buat semua.

Para pengundi PRU14 yang marah dengan suasana ketika itu termasuklah isu kenaikkan kos hidup dan ekonomi yang tidak menentu telah terpesona dan termakan manifesto dan janji melangit PH.

Akhirnya tercipta tsunami hingga PRU14 menyaksikan BN tumbang dan naik mencacak kerajaan baru PH.

Rakyat melonjak gembira dan lega kerana yakin dan percaya PH akan mengubah nasib mereka sebagaimana dijanjikan.

Rupanya rakyat sekadar dijadikan alat dan batu loncatan.

Kegilaan merampas kuasa mendorong PH menabur janji yang mereka sendiri tahu hampir mustahil ditunaikan. Itu tidak penting. Yang penting mereka berjaya rampas kuasa dan BN ditumbangkan.

Mereka khususnya orang Melayu terpinga-pinga melihat inikah sebenarnya apa yang mereka mahu?

Dan kemuncaknya, bukan sekadar BN dipatahkan tetapi atas runtuhan BN itu berpijak masuk parti DAP yang tidak pernah meletakkan perjuangan Melayu Islam di dalam agenda parti mereka kerana mereka punya agenda tersendiri.

Suara dan tuntutan bukan Melayu serta bukan Islam dalam kerajaan menjadi kuat dan lantang lantaran berpecahnya politik Melayu akibat bertanding sesama sendiri sedangkan hampir 90 peratus pengundi bukan Melayu menyokong PH.

Apabila mengecil kuasa politik Melayu dalam kerajaan maka kecillah juga kemampuan untuk membela dan mempertahankan nasib Melayu Islam serta institusi yang berkaitan dengannya.

DAP terus lantang dan berani dan tidak mustahil akan terus mendesak hingga cita-cita mereka tercapai menjelang hujung penggal Parlimen ke-14 ini.

Syukur, perkembangan ini segera diinsafi semua pihak khasnya PAS dan UMNO dua parti politik Melayu Islam terbesar dalam tanah air. Kiranya terus bersengketa yang untung dan bakal bermaharajalela adalah DAP dan sekutunya.

Lantas perbalahan yang ada perlu dipadam dan dikambus demi menghadapi ancaman besar di hadapan.

Yang racun berbisa perlu sama-sama tawarkan, yang tajam menikam.perlu sama-sama tumpulkan demi nasib dan masa depan agama, bangsa dan negara.

Tuntutan bermuafakat antara PAS dan UMNO kini bukan lagi tuntutan politik semata-mata ia sudah menjadi tuntutan untuk memastikan survival umat Melayu Islam yang membentuk majoriti penduduk dalam negara tidak lenyap dan ranap kerana hilangnya taring politik mereka.

Oleh itu, Himpunan Penyatuan Ummah atau HPU914 di PWTC ini nanti bukan sekadar gelanggang permuafakatan dan ta’awun politik PAS dan UMNO tetapi ia sesungguhnya inisiatif berani dan besar untuk memperkasakan kembali kuasa politik Melayu Islam dalam negara biar tegak kukuh berkuasa.

Dan kerana ia suatu agenda yang mulia lagi besar, maka seluruh umat Melayu Islam dalam negara sewajarnya bangkit menyahut inisiatif ini. Bersama-sama kita menggalas dan memikul amanah bangsa dan agama ini, PAS, UMNO dan seluruh umat Melayu Islam. – 13 September 2019.

ROSLAN SHAHIR MOHD SHAHIR
Setiausaha Badan Perhubungan PAS Negeri Selangor

*Artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak semestinya mencerminkan pandangan NTHQiBord*

6 COMMENTS

  1. Kesian pemimpin-pemimpin PAS kempunan nak jadi menteri, timbalan menteri , Pengurusi badan-badan syarikat GLC kerana kalah dalam PRU 14 dan tak jadi king miker, sekarang berbaik dan jadi khadam UMNO pun tak apa janji dapat tempat dan kedudukan. Ya allah jika niat nya itu lah maka jahanam lah PAS dan ahli-ahli nya nanti.

  2. Tahniah PAS dan UMNO termeterainya pakatan ummah. Agar petualang petualang Negara itu dapat disingkirkan dari melaysia.

  3. Penyatuan terbesar org melayu islam abad ini.Diharap syaitan dan iblis tak dpt lagi menghasut untuk hancurkan penyatuan ini mulai harini 14/9/19.Selamat meninggal PH,kerajaan sepenggal ,yg dtg krn kencing dan meninggal pun krn kuat mengencing..

Leave a Reply

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.