POLIS menerima satu laporan polis berkenaan seorang pemilik akaun twitter yang disyaki mengeluarkan kenyataan jelik terhadap Raja Permaisuri Agong, Tunku Azizah Aminah Maimunah Iskandariah di akaun twitternya.

Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Bukit Aman, Komisioner Datuk Huzir Mohamed berkata, polis telah membuka kertas siasatan.

“Satu laporan polis diterima berhubung seorang pemilik akaun twitter yang mengeluarkan kenyataan berbaur hina kepada status yang dikongsi Permaisuri Agong.

“Siasatan telah dibuka di bawah Seksyen 4 Akta Hasutan 1948 oleh Unit Siasatan Jenayah Terkelas Bahagian D5 Bukit Aman,” katanya dalam kenyataan.

Pengguna media sosial semalam melahirkan kekecewaan apabila Baginda mengambil keputusan menutup akaun twitter, Azizah Iskandar@cheminahsayang, kelmarin selepas kenyataannya menerima beberapa komen negatif.

Seorang netizen, Khairul Hafidz menerusi ciapannya semalam, menyatakan rasa sedih dengan berita Raja Permaisuri Agong telah menutup akaun twitter Baginda.

“Apakah kerana Permaisuri Agong berduka dengan reaksi netizen yang kurang sopan? Kami mahu Permaisuri Agong kembali ke Twitter. Bring back all the positivity you showed to us all this while,” tulis beliau.

Difahamkan, baginda menutup akaun Twitternya berikutan komen negatif dari seorang pemilik akaun Yok@frdsasrf. – 13 September 2019.

Leave a Reply

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.