PUSAT Sumber Untuk Kemajuan Masyarakat Dan Perumahan atau REACH menggesa Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Zuraida Kamaruddin supaya pertimbangkan semula cadangan untuk melaksanakan kempen untuk menjual rumah kepada rakyat Hong Kong dan China.

Menurut Ketua Penyelaras REACH, Dato’ Iskandar Abdul Samad, pihaknya berpandangan masih ramai rakyat Malaysia yang belum memiliki rumah sendiri dan menghadapi masalah untuk membelinya maka mereka ini yang perlu didahulukan dan dibantu bukan rakyat negara luar.

“Menteri Perumahan tidak sepatutnya menjadikan negara kita sebagai salah satu destinasi utama mereka. Biarkan Hong Kong dan Negara China menyelesaikan masalah mereka sendiri,”

“REACH mengingatkan Menteri Perumahan bahawa beliau adalah Menteri Perumahan Malaysia dan bukan Menteri Perumahan Hong Kong atau Negara China. Selesaikan masalah rakyat Malaysia dan bukan rakyat negara lain,” katanya dalam satu kenyataan.

REACH juga berpandangan kempen tersebut akan menaikkan harga rumah di Malaysia dan akan menyisihkan pembeli tempatan.

Menurutnya, para pembeli tempatan terpaksa bersaing dengan pembeli dari Hong Kong dan China, yakni persaingan yang wujud bakal menyebabkan para pemaju meningkatkan harga rumah.

“Memandangkan pembeli dari negara luar memiliki keupayaan kewangan yang lebih maka akhirnya pembeli tempatan akan ketinggalan. Pembelian rumah-rumah tersebut akan dimonopoli oleh pembeli luar,”

“Oleh itu, REACH menggesa Kementerian Perumahan memperkasa dan menambahbaik program-program perumahan rakyat yang sedia ada. Berilah tumpuan kepada rakyat tempatan,”kata Iskandar.

Terdahulu, Zuraida berkata bahawa satu Kempen Pemilikan Rumah (Housing Ownership Campaign) akan diadakan dengan sasaran utama pembeli-pembeli dari negara Hong Kong dan China.

Beliau mengumumkan cadangan kempen sedemikian selepas menghadiri perasmian Persidangan Bandar Pintar Asia Ke 5 pada 11 September lepas di Putrajaya.

Bantahan besar-besaran terhadap campur tangan Beijing di Hong Kong telah membuat wilayah itu berada di dalam keadaan tidak stabil dan akan menyebabkan ramai penduduknya berhasrat untuk berhijrah ke negara luar.

Rentetan itu, Zuraida ‘membuka tangannya’ untuk membantu rakyat Hong Kong dan China untuk mendapatkan hartanah di Malaysia, semata-mata untuk menjual rumah bernilai tinggi dalam negara. – NTHQiBORD, 13 September 2019.

2 COMMENTS

Leave a Reply

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.