SABTU lalu, lebih 20 pengikut fahaman Syiah ditahan Jabatan Agama Islam Selangor (JAIS) dalam serbuan di sebuah rumah kedai Taman Sri Gombak, Selangor.

Penahanan kumpulan ajaran sesat itu mengundang pelbagai reaksi dari pemimpin dan NGO pro-Syiah.

Antaranya, Mufti Pulau Pinang, Datuk Wan Salim Mohd Noor yang mahu jabatan agama bertolak ansur dengan ajaran Syiah.

Namun beberapa mufti lain tidak sependapat dengan Wan Salim dan menegaskan ajaran Syiah adalah sesat seperti difatwakan.

Terbaru, NGO peguam Lawyers for Liberty (LFL) pula mengkritik tindakan pihak berkuasa agama yang menyerbu serta menahan pengikut ajaran Syiah selain menyifatkan tindakan itu sebagai melanggar hak asasi antarabangsa.

Pengarah LFL, Melissa Sasidaran berkata, kempen yang diselaraskan oleh pihak berkuasa agama negeri berkenaan juga dilihat tidak memberi jaminan hak kebebasan beragama serta melindungi individu daripada sikap diskriminasi berlandaskan agama atau kepercayaan.

“Menerusi piawaian antarabangsa, batasan tentang kebebasan beragama hanya boleh dijustifikasi jika mereka perlu untuk melindungi keselamatan awam, ketertiban, kesihatan, moral atau asas hak dan kebebasan orang lain.

“Tidak bersetuju dengan ajaran dan amalan Syiah semata-mata bukanlah alasan yang mencukupi untuk tindakan yang keras ini diambil,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Melissa berkata, Perkara 11 Perlembagaan Persekutuan menyatakan setiap orang bebas menganut dan mengamalkan agamanya.

“Namun, pihak berkuasa agama kita biasanya tidak mengikut Perkara 11 (4), yang menghadkan penyebaran doktrin agama dalam kalangan umat Islam, untuk membenarkan tindakan mereka.

“Apapun tafsiran yang membolehkan pihak berkuasa agama bertindak di luar kawalan atau sewenang-wenangnya terhadap pengikut Syiah adalah salah dan ini bermaksud tindakan ini tidak seimbang terhadap kebebasan beragama,” katanya. – 14 September 2019.

Leave a Reply

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.