PAKATAN Harapan (PH) tidak akan mampu menjadi ‘lebih Melayu daripada UMNO dan lebih Islam daripada PAS’, kata Presiden Ikatan Muslimin Malaysia (ISMA), Aminuddin Yahaya.

Ini katanya kerana, dasar PH adalah meliberalkan dasar negara, tidak kira dari segi agama mahupun ekonomi dan rakyat perlu faham bahawa PH sememangnya tidak akan memperjuangkan bangsa Melayu dan agama Islam.

Walaupun wujud pemimpin Melayu, Islam dalam PH yang didominasi DAP, beliau berkata, pemikiran mereka tidak lagi mahu mempertahankan hak orang Melayu, apatah lagi meningkatkan nasib bangsa dan Islam.

“Dengan bilangan majoriti YB di dalam PH adalah bukan Islam, saya tidak nampak Islam akan dimartabatkan kepada kedudukan yang tinggi, tetapi hanya sekadar dalam upacara-upacara rasmi semata-mata.

“Kenyataan Lim Kit Siang ini sudah cukup menjadi bukti akan kenyataan saya. Saya tidak jangka ada pemimpin PH yang berani menyanggah kenyataan veteran DAP itu,” katanya.

Beliau berkata demikian mengulas tindakan Kit Siang mengingatkan pakatan kerajaan supaya tidak cuba menjadi ‘lebih Melayu daripada UMNO dan lebih Islam daripada PAS’ bagi menghadapi kerjasama rasmi dua parti terbesar orang Melayu itu yang ditandatangani kelmarin.

Kit Siang dilaporkan berkata, PH akan ‘gagal dan gagal’ sekiranya ia cuba berbuat demikian kerana taktik itu akan meminggirkan 5.5 juta penyokong daripada pelbagai latar belakang kaum dan agama yang mengundinya dalam pilihan raya umum tahun lalu.

Sabtu lalu, PAS dan UMNO secara rasmi memeterai kerjasama politik setelah hampir 60 tahun ‘berseteru’ dengan mewujudkan Piagam Muafakat Nasional.

Piagam yang ditandatangani oleh kedua-dua presiden parti itu, adalah satu tatakelola kerja bagaimana kedua-dua parti harus bergerak dari sekarang hingga ke pilihan raya umum yang akan datang.

Ia antara lain bersetuju membentuk kerjasama dengan mengembangkan naratif Islam dan Melayu tanpa menafikan kepelbagaian agama, kaum dan budaya sebagai paksi kepada kestabilan politik, keharmonian kaum serta kesejahteraan negara. – 17 September 2019.

2 COMMENTS

  1. Kesian pemimpin2 Melayu yang ada dalam PH. Macam lembu kena cucuk hidung. Tidak boleh nak bersuara. Bersuara aja hilang jawatan. Jadi pak turut aja lah.

  2. Xde nye berani pemimipin melayu dlm pH ni nak bersuara.. Takot kpd DAP… Di sebalik AMANAH BERSATU ade DAP yg akan menghalang…

Leave a Reply

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.