RAKYAT Bumiputera, Melayu dan etnik asal Sabah dan Sarawak perlu bersatu bagi mengelakkan penguasaan DAP ke atas dua negeri itu, kata Datuk Seri Abdul Hadi Awang.

Presiden PAS itu berkata, DAP boleh menguasai Sabah dan Sarawak serta kekayaan hasil negerinya jika penduduk Bumiputera dan Melayu di dua negeri berkenaan berpecah.

Abdul Hadi dalam perutusannya sempena Hari Malaysia turut bimbang terhadap Sabah dan Sarawak dikuasai oleh parti tamak haloba berkenaan yang tinggal di bandar sahaja.

“Islam mengajar sekiranya ada negeri itu punya hasil bumi sendiri, maka hasil itu hendaklah dimanfaatkan dan diselesaikan masalah negeri itu dahulu.

“Namun kita menghadapi di negeri Sarawak, Sabah, Terengganu dan Kelantan yang ada hasil minyak dan gas yang banyak tetapi rakyat miskin. Kita mahu betulkan balik perkara ini.

“Bukan bermakna kita hendak menghalau orang Cina, tetapi biar mereka faham supaya memerintah dengan adil dan tidak membolot kekayaan sehingga melupakan orang-orang asal,” katanya.

Ahli Parlimen Marang itu menggesa penduduk asal Sabah dan Sarawak supaya mempertahankan kedudukan kuasa politik orang Islam dan penduduk asal supaya terus mengusai negeri bagi menjamin keadilan serta kesejahteraannya, termasuk kepada negara.

“Marilah kita memelihara perpaduan yang sedia terjalin dan menolak sebarang pendekatan ekstrem yang boleh memecahkan kesatuan Malaysia Timur dan Malaysia Barat.

“Kita beriltizam untuk meningkatkan taraf hidup peribumi Sabah dan Sarawak serta menyeru semua pihak untuk memperkukuhkan komitmen terhadap Perjanjian Malaysia 1963.

“Ia dapat dilakukan dengan memperbaiki segala kelemahan sepanjang pelaksanaannya, ke arah menguatkan Persekutuan dan merapatkan jurang perbezaan yang wujud selama ini dengan berpegang kepada semangat Perlembagaan Persekutuan,” katanya. – 17 September 2019.

1 COMMENT

  1. Dah nampak sangat Hadi ini tali barut bagi UMNO mengembalikan untuk berkuasa semula serta jadi pecacai segala angan-angan ajenda penyatuan ummah yang bakal memecah belahkan keharmonian dan kesejateraan rakyat malaysia yang bebagai kaum, ugama dan etnik.

Leave a Reply

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.