LIM Guan Eng wajar membuat laporan kepada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) jika tidak mengetahui tentang satu surat tender rundingan terus yang dikeluarkan oleh Kementerian Kewangan baru-baru ini, kata Wee Ka Siong.

Presiden MCA itu merujuk kepada surat yang tular baru-baru ini menunjukkan Kementerian Kewangan bersetuju melantik sebuah syarikat untuk melaksanakan projek bernilai RM450 juta di Kelantan.

Ka Siong berkata, bagi mereka yang biasa dengan prosedur operasi standard (SOP) Kementerian Kewangan pasti memahami bahawa ia adalah prosedur biasa apabila surat itu ditandatangani oleh pegawai kanan Bahagian Perolehan Kerajaan dengan gelaran Datuk, bagi pihak Ketua Setiausaha Perbendaharaan Kementerian Kewangan.

Jelasnya, perenggan kedua dalam surat yang dikeluarkan oleh kontraktor Kementerian Kewangan secara jelas menyatakan bahawa ia dipersetujui oleh Menteri Kewangan.

“Jika Menteri Kewangan tidak mengetahui tentang surat ini maka beliau harus segera membuat laporan polis atau melaporkan kepada SPRM.

“Ini adalah salahlaku urus dan penyalahgunaan kuasa yang serius. Jika Menteri Kewangan tidak membuat sebarang laporan, sangat sukar baginya untuk meyakinkan orang ramai dan terus memimpin.

“Atau adakah dia tidak memberitahu perkara yang sebenar?” kata Ka Siong dalam satu kenyataan di Facebook semalam.

Ka Siong turut menyindir Guan Eng yang mungkin akan menyalahkan media kerana membuat laporan palsu atau menyalahkan kerajaan terdahulu kerana melaksanan sistem rundingan terus.

“Dan adakah dia juga mahu menafikan atau tidak mengetahui tentang kenyataan yang dibuat oleh Timbalan Menteri Amiruddin di Parlimen pada 30 Oktober tahun lepas bahawa di bawah lima syarat, rundingan terus akan dibenarkan?” soal Ka Siong.

Dalam sepucuk surat Kementerian Kewangan bertarikh 26 Julai 2019, Guan Eng bersetuju melantik sebuah syarikat kontraktor secara rundingan terus bagi melaksanakan projek bernilai RM450 juta.

Projek itu adalah pembinaan Bangunan Gunasama Persekutuan Kota Bharu di Tunjong, Kelantan dan akan dijalankan oleh syarikat PDM Builders Sdn Bhd.

Hasil carian di Google mendapati ada sebuah syarikat yang namanya sama di Batu Caves, Selayang.

Bagaimanapun tiada maklumat lain tentang syarikat itu. – 18 September 2019.

Leave a Reply

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.