SELEPAS kecoh dengan kes pegawai Jabatan Pendaftaran Negara (JPN) jual Mykad kepada warga China, kini Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) pula terpalit dengan isu pengkhianatan terhadap negara.

Kelmarin, sebuah portal melaporkan tentang penahanan pegawai JIM selepas dipercayai terbabit dalam kegiatan membawa keluar dan masuk warga asing ke negara ini.

Suspek ditahan bersama seorang wanita di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA).

Penahanan itu dibuat ketika anggota Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) KLIA melakukan rondaan sebelum terserempak kereta Hyundai Sonata.

Menurut laporan, polis menemukan kotak yang disembunyikan di bawah tempat duduk penumpang hadapan hasil pemeriksaan terhadap kereta dipandu seorang wanita tempatan berusia 45 tahun itu.

Siasatan lanjut mendapati kotak itu mengandungi sejumlah wang tunai, pasport dari China dan Indonesia serta kad pengenalan berwarna merah.

Beliau berkata, pemeriksaan pada beg galas milik wanita itu menemui sejumlah wang tunai selain beberapa telefon pintar.

Malah ketika pemeriksaan dilakukan, muncul seorang lelaki mendakwa sebagai pegawai imigresen berusia 40 tahun dan mengaku kereta itu miliknya.

Suspek wanita yang disoal siasat mendakwa pasport ditemui itu adalah milik rakannya yang didakwa berada di luar negara dan akan memasuki Malaysia.

Ketua Polis Daerah KLIA, Asisten Komisioner Zulkifli Adamshah mengesahkan pihaknya menerima laporan berhubung tangkapan itu.

“Tangkapan itu dibuat 1.30 tengah hari selepas anggota Unit Kereta Peronda Polis (MPV) KLIA mendapati kereta berkenaan dalam keadaan mencurigakan.

“Siasatan lanjut berhubung kejadian itu sedang giat dijalankan mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan kerana melakukan penipuan,” katanya. – 18 September 2019.

Leave a Reply

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.