SAYA sama sekali tidak terkejut dengan berita kelulusan projek runding terus (direct nego) oleh Kementerian Kewangan yang tular di media sosial dan utama beberapa hari lalu.

Ianya hanya mempamerkan satu lagi hakikat bahawa kerajaan baru ini sama sahaja dengan kerajaan lama. Yang berbeza hanya dari segi slogan dan penampilan. Hakikatnya sama. Tiada beza.

Kelulusan oleh MOF secara runding terus ini hanya satu daripada banyak keputusan lain yang sudah saban kali terpampang yang menunjukkan bahawa hakikatnya semangat reformasi tidak wujud dalam pentadbiran kerajaan baru ini.

Agenda dan semangat reformasi telah di rampas (hijacked) oleh kelompok elit yang menguasai negara lama sebelum ini. Dan reformasi adalah ibarat lembaga yang paling dibenci oleh mereka, kelompok elit.

Elemen dan semangat reformasi sekiranya benar-benar mendasari pentadbiran negara ini pastinya kelompok elit akan terhumban jatuh. Sebaliknya sekiranya kelompok elit ini masih menguasai, reformasi yang akan terhumban. Hari ini Reformasi yang terhumban.

Buktinya jelas.Direct nego MOF ini untuk siapa selama ini? Untuk kroni penguasa dan pemerintah. Tidak mungkin sama sekali siapapun boleh mendapat surat keramat kelulusan runding terus itu sekiranya mereka bukan kroni kepada pemerintah.

Ertikata lain, runding terus ini hanya buat mereka yang dikenali pemerintah. Bukan untuk syarikat biasa-biasa. Mereka kelompok elit.

Kerajaan sudah berubah. Runding terus masih ada. Runding terus masih ada maknanya kelompok elit ini masih hidup dan berkuasa. Jadi persoalannya adakah kerajaan baru ini benar-benar baru dan berubah?

Reformasi adalah pernyataan dan komitmen perjuangan perubahan untuk membela orang biasa dan menghapuskan si elit. Runding terus yang wujud ini membuktikan reformasi tidak wujud, hilang, dirampas, ‘hijacked’. Natijahnya orang biasa terus tidak terbela. Dan si elit terus dibela.

Runding terus MOF ini hanya satu daripada banyak runding terus lain. Ada khabar sebuah kementerian lain juga memberi puluhan surat kelulusan runding terus projek pasir kepada tentunya syarikat elit. Bukan syarikat biasa.

Malah bukankah kita melihat hampir setiap hari sekarang kementerian tertentu membuat perlantikan jawatan utama GLC terdiri daripada muka lama kelompok elit ini. Elit yang hidup di pemerintahan lama dengan SOP menjilat dan membodek pemerintah terus hidup hari ini dilantik kerajaan reformasi ini sebagai CEO baru pengerusi baru syarikat terbesar kerajaan.

Makanya cukup-cukuplah menipu rakyat. Berhentilah melaungkan reformasi. Tiada guna dan ertinya laungan reformasi itu sekiranya musuh paling utama reformasi kelompok elit perasuah rakus terus hidup dengan surat kelulusan baru direct nego, surat perlantikan baru jawatan utama dan anak-anak terbaik bangsa terus dipinggirkan kerana mereka orang biasa.

Atau lebih baik menteri-menteri ini berhenti sahajalah. Kamu samada terlalu lemah dan bodoh, boleh dikalahkan dengan tipu muslihat elit-elit gampang ini atau memang kamu ini hanya berpura-pura berbaju reformasi tetapi hakikatnya kamu sendiri hidup dalam ruang lingkup elit korup yang rakus,gila kuasa dan kemewahan ini.

Berundurlah, beri laluan kepada pemimpin lain yang benar jujur mengangkat agenda reformasi, berjiwa rakyat bukan elitis dan tidak bodoh dan lemah yang mudah diperalat oleh elit korup seperti kamu-kamu ini.

Reformasi! – 18 September 2019.

MOHAMAD EZAM MOHD NOR,
Bekas Ketua Angkatan Muda Keadilan PKR.

*Artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak semestinya mencerminkan pandangan NTHQiBord*

Leave a Reply

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.