TIMBALAN Presiden PAS, Tuan Ibrahim Tuan Man baru-baru ini mempersoalkan penganjuran sebuah forum di Pulau Pinang yang dipercayai ada agenda kristianisasi.

Forum itu turut dihadirim oleh Timbalan Menteri Belia dan Sukan dari DAP, Steven Sim.

Susulan itu, Tuan Ibrahim menggesa pihak polis untuk menyiasat tentang ancaman daripada penganjuran forum tersebut.

Gesaan Tuan Ibrahim itu ternyata tidak disenangi Menteri Belia dan Sukan, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman.

Ahli Parlimen Muar itu tampil mempertahankan timbalannya dengan menyifatkan Steven sebagai seorang yang sangat bepegang kepada kesederhanaan dan kepelbagai kaum di Malaysia.

“Saya tidak pernah walau sekali merasakan yang dia mahu ‘Kristiankan’ saya atau KBS (Kementerian Belia dan Sukan).

“Hentikan politik kebencian dan marilah bersama bina lebih banyak jambatan sebagai sebuah negara yang bersatu,” katanya menerusi hantaran di Twitter.

Senada dengan Syed Saddiq adalah penasihat DAP, Lim Kit Siang yang juga mempertahankan Sim dan menuduh Tuan Ibrahim menyebarkan berita palsu.

“Boleh Tuan Ibrahim jelaskan apa yang salah dengan Sim berucap di gereja menasihati penganut Kristian agar menjadi warga yang baik?

“Adakah beliau akan cadangkan agar semua ahli politik dilarang memberi ucapan di rumah ibadat, tidak kira masjid, gereja atau kuil, dan bermula dengan pemimpin PAS?” katanya dalam kenyataan hari ini.

Beliau turut menafikan DAP mempunyai agenda Kristianisasi dan menggesa Tuan Ibrahim agar tidak menyebarkan kebencian yang boleh memecahbelahkan rakyat Malaysia.

“DAP tiada agenda Kristianisasi dan mereka patut berhenti membuat dakwaan tidak berasas terhadap DAP. Saya adalah penganut agama Buddha, bukan Kristian,” katanya lagi. – 19 September 2019.

Leave a Reply

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.