DATUK Amhari Efendi Nazaruddin menerima lebih AS$1 juta daripada ahli perniagaan dalam buruan, Low Taek Jho atau Jho Low.

Bagaimanapun bekas pegawai khas Datuk Seri Najib Razak itu berkata, beliau tidak ingat jumlah yang diterima daripada Jho Low.

Amhari merupakan saksi kelapan kes perbicaraan 1Malaysia Development Berhad (1MDB) melibatkan Najib di Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur.

Lelaki berusia 42 tahun itu sbelum ini mendedahkan bahawa beliau pernah menerima AS$200,000 dan AS$800,000 daripada Jho Low, masing-masing pada 2010 dan 2015.

Semasa sesi soal balas dengan peguam Najib, Amhari mengakui beliau menerima lebih banyak wang daripada Jho Low.

Namun beliau mendakwa tidak mengingati jumlah sebenar yang diberikan Jho Low kepadanya.

Amhari juga memberitahu Hakim Collin Lawrence Sequerah bahawa Jho Low sering menaja kos perjalanannya dan menyediakan penginapan apabila beliau ke luar negara.

Berhubung satu lagi soalan, Amhari mendakwa beliau tidak berani melaporkan tentang Jho Low atau mengesahkan arahan ahli perniagaan itu dengan Najib atas alasas beliau adalah staf junior dalam kerajaan.

Amhari berkata demikian apabila peguam bela bertanya bahawa beliau mempunyai banyak peluang untuk memberitahu Najib tentang perbuatan Jho Low.

Katanya, beliau hanya bercakap mengenai perkara itu kepada bekas setiausaha sulit Najib, arwah Datuk Azlin Alias. – NTHQiBord, 19 September 2019.

Leave a Reply

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.