KERAJAAN perlu menekankan penguatkuasaan menyeluruh bagi mengenal pasti individu yang didapati memegang MyKad yang tidak sah, kata BERJASA.

Ketua Penerangan parti itu, Hazwan Mohammad berkata, kerajaan perlu mengetatkan semua prosedur permohonan dan pemberian MyKad kepada warga asing di semua peringkat.

Jelasnya, langkah itu bagi memastikan aktiviti penjualan kad pengenalan diri tidak lagi berulang susulan pembongkaran aktiviti penjualan MyKad kepada warga asing baru-baru ini.

“Semakin hari semakin banyak pembongkaran yang telah dibuat melalui Jabatan Imigresen. Namun, hanya beberapa menteri sahaja yang membuat kenyataan mengecam.

“Seolah-olah ini hanya isu picisan. Sedangkan isu ini membabitkan kepentingan awam, kedaulatan dan keselamatan negara,” katanya.

Sebelum ini, media melaporkan beberapa individu termasuk pegawai kerajaan berpangkat tinggi ditahan polis susulan pembongkaran aktiviti penjualan MyKad kepada warga China di Pulau Pinang.

Dalam operasi khas, beberapa kakitangan dan pegawai sebuah jabatan kerajaan di Pulau Pinang termasuk di Putrajaya ditahan mengikut Akta SOSMA.

Antara yang ditahan termasuk pegawai JPN Pulau Pinang bagi membantu siasatan berhubung laporan dibuat Jabatan Imigresen Pulau Pinang mengenai wanita warga China memiliki MyKad sah mahu membuat pasport Malaysia.

Difahamkan, wanita berusia antara 25 hingga 30 tahun itu datang ke pejabat imigresen negeri bagi membuat pasport Malaysia sebelum mengemukakan MyKad miliknya yang sah.

Bagaimanapun, status kewarganegaraan wanita terbabit diragui sebelum imigresen bertindak membuat laporan polis berhubung perkara berkenaan.

Pada masa sama, beliau turut menggesa Pejabat Peguam Negara memberi keutamaan berhubung kes ini dengan mendakwa pihak terbabit.

“Dakwa bukan sahaja ‘ikan bilis’ tetapi ‘jerung’ yang terbabit! Pihak mahkamah juga perlu meletakkan prioriti perbicaraan kes ini kerana ianya membabitkan kepentingan awam dan kedaulatan negara,” tegasnya. – 19 September 2019.

2 COMMENTS

  1. Check jeic umur layak mngundi. Dn lg latu knapa bangsa cina je yg bli my kad. Bangsa2 lain x de berminat ke.????

    • Lain2 bangsa bukan tak berminat. Semua yg masuk itu telah dirancang oleh orang tertentu untuk kepentingan politik mereka. Ada kaitan dengan system KLIA.

Leave a Reply

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.