LIM KIT SIANG tidak layak bercakap mengenai perpaduan kerana DAP sendiri mengamalkan perkauman walaupun selama ini menekankan aspek kepelbagaian dalam piagam mereka, tegas Naib Presiden UMNO, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob.

Beliau menyifatkan kebimbangan sifat DAP semakin terserlah selepas melihat orang Melayu banyak membantu kemenangan Pakatan Harapan (PH) dalam pilihan raya lalu tidak lagi merasakan kerajaan sedia ada mampu mempertahankan nasib bangsa Melayu dan Islam.

“Selama ini yang memainkan isu perkauman adalah DAP. Isu kecil seperti tulisan Jawi pun mereka mainkan dan jadikan isu perkauman. Jadi yang bersifat perkauman selama ini adalah DAP.

“Malah, Kit Siang dianggap rasis oleh Tun Dr Mahathir Mohamad suatu ketika dahulu sewaktu di dalam UMNO, beliau sendiri kata Kit Siang dan DAP adalah rasis.

“Dan ia tidak pernah berubah dari dahulu sampai sekarang. Itu bukan kenyataan saya tetapi kenyataan Dr Mahathir,” kata Ismail dalam satu kenyataan.

Dalam kenyataan sama, beliau turut menempelak kenyataan veteran DAP itu bahawa ‘taawun siyasi’ PAS-UMNO akan memburukkan lagi politik toksik kaum dan agama ke paras yang tidak pernah dilihat sebelum ini.

Ismail menegaskan, Muafakat Nasional dibentuk atas dasar mahu memperkukuhkan agama Islam dan orang Melayu yang tertekan serta tercabar dengan tindakan kerajaan PH.

Malah, katanya, muafakat ini juga bukan sahaja menjadi benteng dalam menjaga kebajikan orang Melayu tetapi juga kaum lain yang berada dalam negara ini.

“Kit Siang tak usahlah menakut-nakutkan rakyat khususnya kaum bukan Bumiputera untuk melihat Muafakat Nasional sebagai satu ancaman kepada kaum dan agama lain. Tiada apa yang perlu ditakutkan.

“Penyatuan ini juga menjaga kepentingan kaum-kaum lain sebab itu kita lihat pertubuhan bukan kerajaan (NGO) bukan Melayu malah parti-parti politik bukan Melayu pun turut serta menyaksikan acara tandatangan piagam di Himpunan Penyatuan Ummah, PWTC,” kata beliau. – 19 September 2019.

Leave a Reply

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.