SIAPA sangka, masih ada pemimpin Melayu dalam Pakatan Harapan yang berfikiran rasional terhadap penyatuan ummah antara PAS dan UMNO.

Contohnya, Tan Sri Rais Yatim yang merupakan Pengerusi BERSATU Negeri Sembilan yang menyokong gabungan PAS-UMNO yang menyaksikan wujudnya Piagam Muafakat Nasional.

Namun Rais berkata, jika kerjasama itu berlandaskan agama, maka usaha itu harus disokong.

Katanya, dalam Islam, apa juga usaha untuk menyatukan kaum, bangsa jangan dibangkang.

“Bagaimanapun, sama ada (gabungan UMNO dan PAS) untuk agama atau nak menang pilihan raya itu saya belum tahu. Kalau untuk agama bangsa kita sangat-sangat menyokong.

“Keduanya, kalau percantuman ini sebab mereka kecewa kerana kalah, sekarang bercantum hendak menang pilihan raya itu tidak ada kaitan, saya fikir dengan keagamaan tadi,” katanya baru-baru ini.

Rais berkata, perkara itu harus ditimbang oleh pemilih dan juga pengundi di peringkat akar umbi sama ada ia sesuatu yang ikhlas atau berkaitan agama atau hanya untuk gimik hendak menang lebih kerusi pada pilihan raya.

“Ini tidak dapat saya menjawabnya. Pihak berkenaan harus menjawabnya dengan jelas,” katanya.

Sabtu lalu, UMNO dan PAS memeterai perjanjian Piagam Muafakat Nasional dengan ditandatangani oleh kedua-dua presiden parti, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamid (UMNO) dan Datuk Seri Abdul Hadi Awang (AS).

Rais sebelum ini turut dilaporkan berkata, jika Pakatan Harapan (PH) tidak menang pada Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14) yang lalu maka tiada gabungan dimeterai oleh kedua-dua parti berkenaan ketika ini.

Katanya, dalam satu pengertian kemunculan PH itu menggesa UMNO dan PAS mewujudkan satu pakatan dan jika tiada PH mereka tidak akan bersatu.

“Gabungan UMNO dan PAS menerusi Piagam Muafakat Nasional disebabkan kedua-dua parti tersebut melihat kejayaan yang telah dibawa sejak PH mula mentadbir negara,” katanya. – 19 September 2019.

Leave a Reply

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.