SEPERTI yang sudah dijangka, Pakatan Harapan (PH) akan menuding jari kepada kerajaan dahulu dalam isu projek RM450 juta di Kelantan yang diperoleh secara rundingan terus.

Walaupun surat yang tersebar itu menunjukkan Kementerian Kewangan di bawah pimpinan Menteri DAP Lim Guan Eng bersetuju dengan pelantikan kontraktor, tetapi Tun Mahathir Mohamad menafikan perkara tersebut.

Perdana Menteri sebaliknya berkata PH tidak meluluskan tender langsung untuk projek bangunan mencecah RM450 juta di Tunjong, Kelantan kerana projek itu telah diluluskan ketika pentadbiran Barisan Nasional (BN).

“Awak tengok memo itu, apa yang ditulis adalah penerusan projek itu yang sudah diberikan kepada syarikat itu.

“Apa yang saya kata adalah syarikat tersebut bersedia mengurangkan kos, dan jika ia adalah penerusan projek terdahulu.

“Saya tidak rasa ia rundingan terus, ia hanya penerusan projek,” kata Tun Mahathir sambil menambah beliau belum berjumpa lagi dengan Guan Eng untuk berbincang perkara itu.

Guan Eng sebelum ini juga berkata tidak mengetahui tentang isu tersebut.

Isu projek itu didedahkan oleh Ahli Majlis Tertinggi UMNO, Datuk Mohd Razlan Rafii apabila beliau menunjukkan surat yang dialamatkan kepada Pejabat Perdana Menteri.

Surat bertarikh 26 Julai 2019 itu menyatakan Kementerian Kewangan telah bersetuju dengan syarat untuk menyerahkan kontrak projek itu kepada syarikat PDM Builders Sdn Bhd. – 19 September 2019.

Leave a Reply

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.