PRESIDEN Indonesia, Joko Widodo atau Jokowi hari ini, mengumumkan peletakan jawatan menteri sukan, selepas beliau dinamakan sebagai suspek kes rasuah oleh agensi anti dadah negara itu.

Imam Nahrawi adalah menteri kedua dalam Kabinet pimpinan Jokowi yang terbabit dalam siasatan kes rasuah, sekali gus dianggap satu tamparan kepada presiden berkenaan.

Jokowi yang dipilih ke jawatan itu pada 2014, menjanjikan kerajaan yang bersih dan efektif dalam kempen pemilihannya.

Suruhanjaya Pembasmian Rasuah atau KPK, mendedahkan nama Imam Nahrawi dan pembantunya, sebagai suspek kes rasuah, semalam.

“Kami akan menentukan sama ada kami akan menggantikannya atau melantik menteri sementara, tetapi saya sudah menerima surat peletakan jawatan (Imam Nahrawi),” kata Jokowi kepada wartawan.

Kes rasuah berkenaan dilaporkan membabitkan dua organisasi, iaitu Kementerian Sukan dan Jawatankuasa Sukan Kebangsaan (KONI).

Timbalan Ketua KPK, Alexander Marwata, berkata Imam Nahrawi dituduh mengambil rasuah sebanyak 26.5 bilion rupiah (RM7.86 juta), membabitkan permohonan kepada kementerian itu bagi meluluskan cadangan geran kepada KONI pada Bajet 2018.

“Wang berkenaan didakwa digunakan untuk perbelanjaan peribadi yang dibuat menerusi pembantu peribadinya,” kata Alexander.

Wakil jawatankuasa itu dituduh memberikan wang rasuah terbabit kepada Imam Nahrawi, menerusi pembantunya dalam lima pertemuan berasingan.

Sementara itu, wakil jawatankuasa terbabit, selain tiga kakitangan kementerian dan KONI sudah dinamakan sebagai suspek.

Terdahulu, bekas menteri sosial Kabinet Jokowi, iaitu Idrus Marham dijatuhi hukuman penjara tiga tahun pada April lalu, oleh mahkamah khas rasuah atas kesalahan rasuah.  – AGENSI, 20 September 2019.

Leave a Reply

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.