KUALA LUMPUR: Polis Diraja Malaysia (PDRM) tidak akan berkompromi dengan mana-mana pihak atau kumpulan yang dikesan mengagung-agungkan pertubuhan pengganas dari luar negara, kata Ketua Polis Negara.

Tan Sri Abdul Hamid Bador berkata, pihaknya akan mengambil tindakan tegas terhadap pihak yang terlibat dalam perkara tersebut termasuk yang tular di laman sosial.

Malah katanya, perkara itu sudah pun dibawa ke peringkat kementerian.

“Perkara ini sebenarnya sudah lama (video tular) dan perkara ini telah diangkat kepada pihak atasan dan kementerian.

“Keputusan akan dibuat dalam sedikit masa lagi kerana sekiranya benar tindakan mengagung-agungkan pertubuhan pengganas ini berlaku, ia amatlah tidak kena dengan negara kita, malah tidak sepatutnya berlaku,” katanya.

Beliau mengulas penularan video dan gambar di laman sosial berkaitan perarakan sekumpulan individu membawa sepanduk berlogo Harimau Pembebasan Tamil Eelam (LTTE).

Kejadian tersebut dipercayai berlaku di Pulau Pinang.

Abdul Hamid menegaskan, tiada lagi amaran diberikan, sebaliknya tindakan sewajarnya akan terus diambil kepada pihak berkenaan.

“Banyak kes bukan sekadar video yang tular. Seperti mana saya katakan tadi, tiada lagi amaran sebaliknya pihak saya akan terus mengambil tindakan terhadpa perbuatan menghasut isu perkauman, keagamaan dan institusi diraja,” ujarnya. – 20 September 2019.

1 COMMENT

  1. Ada berani kaa?klu org melayu yg lakukn.. mmey lh cepat kena tangkap…ttp klu kaum itu.. eemmmmm…..no way man…

Leave a Reply

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.