JIKA masih memerintah Selangor, Barisan Nasional (BN) tidak akan membiarkan bekas penghuni rumah-rumah di tanah rizab Sungai Kedondong, Paya Jaras terbiar selepas rumah mereka dirobohkan, kata Datuk Seri Najib Razak.

Bekas Perdana Menteri itu menyifatkan bekas penghuni yang dibiarkan tinggal di khemat penempatan sementara mengalami tekanan yang dahsyat dari segi fizikal dan emosi.

Beliau turut meluahkan simpati dan kebimbangannya kepada bekas penghuni yang kini tinggal dalam khemah di penempatan sementara berdekatan tapak perobohan.

“Ini merupakan satu tekanan yang dahsyat bukan sahaja fizikal tapi emosi.

“Apatah lagi bila saya lihat ada bayi umur empat bulan sudah dibiarkan tidur bawah khemah dan seorang wanita yang juga pesakit kanser peringkat tiga dibiarkan tidur melarat.

“Kalau ini berlaku pada zaman BN memerintah, kita mesti pasti adakan penempatan sementara,” katanya selepas meluangkan masa sejam melawat mangsa kekejaman kerajaan negeri yang diperintah Pakatan Harapan.

Lebih 30 buah rumah di tanah rizab Sungai Kedondong dirobohkan pada 19 September lalu bagi meneruskan projek pelebaran sungai yang sudah dirancang sejak 2008 tetapi ditangguhkan susulan rayuan penduduk.

Kesemua bekas penghuni kini menetap dalam khemah selepas rumah mereka dirobohkan pihak berkuasa dalam operasi penguatkuasaan undang-undang bagi membolehkan pembinaan projek pelebaran Sungai Kedondong dalam usaha mengatasi masalah banjir.

Najib menyifatkan tindakan kerajaan negeri dalam isu penempatan bekas-bekas penghuni itu sebagai tiada ihsan dan tidak berhati perut.

“Jika nak roboh rumah, sebelum datang mana-mana prosedur perlu ada pertimbangan yang perlu dibuat,” katanya.

Najib berkata beliau dimaklumkan ADUN Paya Jaras, Mohd Khairuddin Othman pernah menghantar surat kepada Menteri Besar Selangor membantah perobohan rumah-rumah terbabit.

Menurut Najib, surat itu menyebabkan bekas-bekas penghuni sebelum ini berasa selamat dan yakin.

“Tapi saya datang, tak nampak batang hidung pun. Inilah janji tinggal janji,” katanya. – 21 September 2019.

2 COMMENTS

  1. Nak buat macam mana penduduk setempat sudah salah pangkah. Macam cerita p.ramlee Ali Baba. Pangkah Jamban . Jadi kena roboh lah.

Leave a Reply

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.