JABATAN Pendaftaran Negara (JPN) perlu mendedahkan jumlah kes pemalsuan kad pengenalan susulan isu penjualan MyKad dalam kalangan warga asing terutamanya dari China, gesa Dato’ Azwanddin Hamzah.

Presiden Jaringan Melayu Malaysia (JMM) itu berkata, maklumat terperinci tentang perkara harus dijelaskan oleh JPN kerana ianya telah menimbulkan keraguan dalam kalangan rakyat.

Azwaddin berkata, sejak kes jual MyKad terbongkar, rakyat Malaysia semakin ragu dengan jumlah permohonan menjadi warga negara dan taraf penduduk tetap yang diberikan oleh JPN.

Jelasnya, ada spekulasi mengatakan bahawa pemberian taraf kerakyatan kepada warga China melibatkan kepentingan politik sesetengah parti.

“JPN juga perlu memberi maklumat secara terperinci, tentang jumlah warga asing yang diberikan taraf kewarganegaraan. Begitu juga dengan pemilik IC Merah (status penduduk tetap).

“Isu memberi kerakyatan kepada warga asing juga perlu dijelaskan oleh JPN untuk pengetahuan rakyat. Apakah syarat kelulusan permohonan untuk memberi taraf kewarganegaraan kepada warga asing ini?

“Perkara ini perlukan penjelasan kerana penularan di media sosial daripada netizen tentang sindiket ini juga dikaitkan dengan status kerakyatan yang akan diperolehi oleh warganegara China,” katanya dalam satu kenyataan.

Beliau mengulas mengenai penglibatan penjualan MyKad ini didalangi oleh “orang dalam” JPN sendiri, iaitu seorang Penolong Pengarah Jabatan Pendaftaran Negara (JPN) negeri Pulau Pinang.

Kes itu turut melibatkan beberapa orang awam yang menjalankan aktiviti penjualan MyKad dengan harga mencecah RM600,000 serta mengeluarkan sijil kelahiran kepada warga China di Pulau Pinang.

Azwanddin juga meminta JPN memandang serius kes sindiket penjualan MyKad kepada warga asing yang sedang berleluasa kini seperti dilaporkan media.

Katanya, isu ini membimbangkan dan meresahkan rakyat kerana ia melibatkan data maklumat rahsia peribadi, yang juga akan membabitkan pengeluaran pasport serta sijil kelahiran palsu.

“Sebagai rakyat Malaysia, mereka mahu supaya pihak JPN dapat memberikan maklumat yang jelas tentang kesemua perkara ini, apakah bangsa mereka dan dari negara manakah asalnya mereka ini.

“Selain itu, apakah syarat kelulusan untuk meluluskan mereka menjadi penduduk tetap atau diberikan kewarganegaraan kerana pada masa ini, dilihat lebih mudah untuk mendapatkan kelulusan tentang dua perkara ini.

“Kesemua perkara ini selain daripada keselamatan negara, ianya juga membabitkan kepentingan masa depan politik negara dan Perlembagaan serta hak asasi Rukun Negara,” katanya. – NTHQiBord, 21 September 2019.

1 COMMENT

Leave a Reply

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.