SETAKAT ini belum ada lagi warga asing dari Bangladesh yang dicekup memiliki MyKad secara haram.

Seperti yang didakwa Pakatan Harapan (PH) sebelum pilihan raya umum lalu, Barisan Nasional membawa masuk puluhan ribu warga Bangladesh untuk mengundi mereka.

Tapi hairannya, polis setakat ini berjaya menahan warga China dan India kerana memiliki MyKad secara tidak sah.

Terbaharu, polis berjaya menahan seorang lelaki warga India yang didapati menggunakan MyKad diperoleh secara tidak sah.

Menurut sumber kepada sebuah portal berita, lelaki berusia 20-an terbabit ditahan di sebuah rumah di Nibong Tebal, semalam, susulan risikan dan maklumat diperoleh polis.

“Dalam serbuan ini, kita turut merampas beberapa dokumen daripada Jabatan Pendaftaran Malaysia (JPN), pasport dan telefon bimbit,” katanya.

Dalam pada itu, selain tangkapan lelaki warga India berkenaan, polis masih memburu empat individu sepanjang Op Biru Fasa Kedua kali ini.

Mereka terdiri daripada seorang wanita masih berkhidmat di JPN di sebuah negeri, dua lelaki bekas kakitangan JPN dan seorang lelaki bergelar Datuk.

Sumber berkata, hasil siasatan mendapati, lelaki bergelar Datuk berusia 50-an menjadi orang tengah bagi memudahkan suspek mendapatkan MyKad berkenaan.

“Setakat ini, suspek mengaku memperoleh MyKad secara tidak sah itu melalui individu tidak dikenali,” katanya.

Dalam kejadian 12 September lalu, enam lelaki termasuk seorang bergelar Datuk dan seorang Penolong Pengarah JPN berdepan 32 pertuduhan menjual MyKad sah kepada warga asing.

Fasa pertama Ops Biru berjaya menahan 20 individu susulan pembongkaran seorang warga China yang cuba memohon pasport menggunakan MyKad sah di Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) Pulau Pinang pada 16 Mei lalu. – 21 September 2019.

1 COMMENT

Leave a Reply

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.