KERAJAAN menubuhkan satu pasukan petugas bagi menyiasat sindiket pengeluaran dan penjualan sijil kelahiran serta kad pengenalan kepada warga asing.

Pasukan khas itu melibatkan kerjasama tiga agensi kerajaan iaitu Polis Diraja Malaysia (PDRM), Jabatan Pendaftaran Negara (JPN) dan Jabatan Imigresen.

Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Bukit Aman, Datuk Huzir Mohamed ketika mengesahkan perkara itu.

“Pembentukan pasukan petugas ini telah mendapat persetujuan daripada Ketua Setiausaha Kementerian Dalam Negeri, Tan Sri Alwi Ibrahim.

“PDRM, JPN dan Imigresen akan bekerjasama dalam pasukan petugas ini bagi membanteras sindiket sedemikian,” katanya.

Semalam Ketua Polis Negara Tan Sri Abdul Hamid Bador berkata beberapa lagi kakitangan JPN Pulau Pinang akan ditahan bagi membantu siasatan berhubung sindiket pengeluaran dan penjualan sijil kelahiran serta kad pengenalan kepada warga asing.

Selain itu, beberapa pegawai dipercayai terlibat dalam sindiket itu telah dikenal pasti dan mereka akan ditahan dalam tangkapan fasa kedua.

Hari ini, seorang warga India ditahan di Pulau Pinang kerana memiliki Mykad secara tidak sah.

Pada 11 September lepas, polis menahan 20 individu termasuk seorang pegawai JPN yang disyaki terlibat dengan kegiatan pengeluaran sijil kelahiran dan kad pengenalan secara tidak sah.

Pada hari berikutnya enam lelaki termasuk seorang Penolong Pengarah JPN Pulau Pinang berumur antara 34 dan 66 tahun didakwa di Mahkamah Sesyen atas 32 pertuduhan berhubung sindiket pengeluaran dan penjualan sijil kelahiran serta kad pengenalan kepada warga asing. – 21 September 2019.

Leave a Reply

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.