DI negara ini terdapat 10,208 buah sekolah kebangsaan. Dari jumlah tersebut 7,772 buah sekolah rendah kebangsaan dan 2,436 buah sekolah menengah kebangsaan.

Menariknya, sejak akhir-akhir ini semakin kerap kita mendengar dakwaan segelintir  pihak bahawa sekolah kebangsaan yang ada di negara ini sudah semakin beridentitikan budaya Melayu dan budaya Islam.

Ada antara mereka yang kata sekolah kebangsaan terlalu banyak mengajar pendidikan Islam, ada banyak program dan ceramah agama.

Ada yang kata berbagai sambutan berkaitan agama Islam dianjurkan di sekolah kebangsaan. Ada pula yang kata sekolah kebangsaan dah jadi sekolah orang Melayu.

Begitu juga ada yang kata sekolah kebangsaan penuh dengan poster dan papan tanda yang pamerkan ayat ayat Al Quran dan Hadis di dinding bangunan dan lorong lorong pejalan kaki.

Jadi mereka berpendapat sekolah kebangsaan tidak begitu sesuai sebagai sekolah untuk membina perpaduan antara kaum.

Dakwaan ini bukan sahaja oleh kumpulan yang pro-sekolah vernakular Cina dan Tamil tetapi juga di kalangan kepimpinan negara dan bijak pandai di universiti.

Asal punca kepada dakwaan ini ialah bila ada tuntutan dari masyarakat supaya sekolah satu aliran diwujudkan segera dan semua sekolah vernakular dimansuhkan.

Jadi untuk membina alasan sebagai menolak sekolah satu aliran, mulalah dikatakan sekolah kebangsaan tidak sesuai untuk pelajar bukan Melayu kerana sekolah-sekolah kebangsaan ini terlalu berorientasikan budaya Melayu dan Islam.

Soalnya apakah benar dakwaan ini dan jika benar apa puncanya?

Pada saya, memang benar sekolah kebangsaan beridentitikan Melayu Islam. Memang tidak dinafikan. Tetapi kita juga kena tahu apa puncanya.

Budaya dan identiti Melayu Islam telah wujud di sekolah kebangsaan atas dua sebab.

Pertama, wujudnya budaya dan identiti Melayu-Islam di sekolah kebangsaan kerana tertakluk kepada Perlembagaan Persekutuan, Akta Bahasa Kebangsaan dan Dasar Kebudayaan Kebangsaan. Akta Pelajaran (1957,1961,974 dan 1996).

Perkara 3 di dalam Perlembagaan meletakkan agama rasmi negara adalah agama Islam. Maka sekolah kebangsaan adalah institusi yang mengajar dan mendidik pelajar yang beragama Islam tentang agama mereka.

Perkara 152 Perlembagaan Persekutuan menetapkan Bahasa Melayu adalah bahasa kebangsaan. Jadi sekolah kebangsaan memang dituntut untuk mengajar bahasa Melayu sebagai bahasa kebangsaan.

Begitulah juga peruntukan yang ada di dalam semua Akta Pelajaran dan juga Dasar Kebudayaan Kebangsaan yang meletakkan Islam dan budaya induk Melayu sebagai teras budaya kebangsaan dalam negara ini.

Jadi mengapa pula ada pihak yang mendakwa sekolah kebangsaan semakin tersasar bila bersifat Melayu-Islam?

Bukankah apa yang sedang diamalkan di sekolah kebangsaan bertujuan memenuhi hasrat dan menghormati Perlembagaan negara, Akta Pelajaran dan Dasar Kebudayaan Kebangsaan?

Sebab kedua mengapa identiti sekolah kebangsaan lebih bercirikan Melayu- Islam kerana berlakunya penolakan secara besar-besar masyarakat bukan Melayu untuk belajar di sekolah kebangsaan sejak 1970an.

Mereka memilih untuk menghantar anak anak mereka belajar di sekolah Cina atau sekolah Tamil. Ada yang memilih untuk anak-anak mereka belajar di sekolah antarabangsa.

Jika kalangan bukan Melayu sendiri yang menolak untuk menghantar anak mereka ke sekolah kebangsaan sehingga sekolah kebangsaan sekarang 97% adalah pelajar Melayu, apakah ini salah sekolah kebangsaan?

Sebab itu dakwaan sekolah kebangsaan sudah beridentitikan Melayu Islam mungkin benar. Tetapi puncanya bukan kerana orang Melayu sengaja mahu jadi begitu.

Puncanya kerana sekolah kebangsaan cuba memenuhi hasrat yang terkandung di dalam dokumen Perlembagaan Negara, Dokumen semua Akta Pelajaran dan Dokumen Dasar Kebudayaan Kebangsaan. Bukankah semua dokumen ini telahpun dipersetujui oleh semua kaum di negara ini?

Jika semua usaha sekolah kebangsaan ini dianggap salah, maka salahkan semua dokumen- dokumen negara ini.

Bukan sewenangnya menuding jari salahkan institusi sekolah kebangsaan yang hanya menjalankan tanggungjawabnya.

Dakwaan sekolah kebangsaan terlalu bersifat Melayu-Islam mungkin benar tetapi ini adalah hasil selepas orang bukan Melayu menolak untuk menghantar anak-anal mereka ke sekolah kebangsaan sebaliknya memilih sekolah vernakular.

Apakah adil untuk mereka meletakkan kesalahan pada sekolah kebangsaan sedangkan  mereka sendiri tidak mahu anak mereka belajar di sekolah kebangsaan?

Lihat data di bawah bagaimana semakin lama semakin ramai orang bukan Melayu sudah tidak lagi menghantar anak anak mereka ke sekolah kebangsaan.

Sebab itu, bila kita mendengar ada pihak mendakwa kononnya sekolah kebangsaan terlalu bersifat Melayu-Islam, kita kena lebih berhati-hati untuk menerima bulat-bulat dakwaan mereka.

Hakikatnya, sekolah kebangsaan sangat terbuka menerima semua kaum. Jika anak-anak dari semua kaum belajar di sekolah kebangsaan, secara langsung ia akan membina budaya masyarakat Malaysia pelbagai etnik yang selari dengan komposisi pelajar di sesebuah sekolah.

Jika pelajar Cina semakin ramai di sekolah kebangsaan, tentu sahaja bahasa Mandarin dan budaya masyarakat Cina akan diraikan dengan meriah di sekolah kebangsaan.

Jika ramai pelajar India di sekolah kebangsaan pastinya perayaan, bahasa Tamil  dan budaya masyarakat India akan turut diraikan di sekolah kebangsaan.

Jadi janganlah kita mudah terpesona dengan dakwaan segelintir orang kononnya sekolah kebangsaan mula tersasar bila melihat sekolah kebangsaan semakin menjadi sekolah yang beridentitikan Melayu dan Islam. Sekolah kebangsaan tidak ‘berdosa’ pada sesiapa pun. – 22 September 2019.

ANUAR AHMAD,
Pensyarah UKM.

*Artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak semestinya mencerminkan pandangan NTHQiBord*

Leave a Reply

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.