Kampung Baru merupakan warisan orang Melayu di Kuala Lumpur.

PAGI ini riuh berkaitan program taklimat Menteri Wilayah Persekutuan kepada pemilik tanah Kampung Baru.

Ada live di Facebook. Anda pun boleh dengar taklimat tersebut.

Kisahnya tanah Kampung Baru adalah dimiliki oleh orang Melayu 100%. Inilah tanah terakhir bersaiz besar yang dimiliki olah orang Melayu di tengah KL. Dah tak ada yang lain lagi.

Dulu, penjajah British pada tahun 1889 setuju memberikan status tanah rezab Melayu kepada tanah Kampung Baru. Penjajah British pun boleh faham perlu satu kawasan dalam bandar Kuala Lumpur untuk orang Melayu.

Penjajah Inggeris faham jika tidak ada status rezab Melayu, pasti orang Melayu tiada akan ada tanah di tengah bandar lagi kemudian hari. Bila ada tanah rezab Melayu maksudnya hanya orang Melayu sahaja boleh memiliki tanah di kawasan ini sampai bila-bila.

Kerajaan PH nampaknya berminat untuk membeli semua tanah di Kampung Baru dan menawarkan harga RM850 sekaki persegi (psf) pada pemilik tanah.

Menurut menteri yang diberikan tanggungjawab berkaitan Wilayah Persekutuan, rata-rata pemilik tanah di Kampung Baru mempunyai tanah berkeluasan sekitar 8,000 kaki.

Jadi harga tanah yang ditawarkan untuk dibeli oleh kerajaam adalah sekitar RM6.5 juta bagi setiap pemilik tanah.

Jom kita berfikir adalah sesuai atau tidak harga tawaran ini? Kita jangan jadi orang yang lemah matematik. Kena cerdik sedikit.

Sebagai perbandingan, mengikut laporan majalah Edge Property, harga tanah di TRX ialah RM3,100 psf (ini harga pasaran pada tahun 2015). Sekarang jauh lebih tinggi.

Soalnya, mengapa tanah di Kampung Baru hanya ditawarkan pada RM850 psf sahaja? Sedangkan tanah di Kampung Baru jauh lebih strategik dan betul-betul di tengah KL berbanding tanah di TRX di pinggir pusat bandar KL?

Dengan tawaran RM850 oleh kerajaan untuk pemilik tanah Kampung Baru, tanah seluas 8,000 kaki akan dijual pada harga sekitar RM6.5 juta sahaja.

Sedangkan di TRX tanah yang sama luasnya dapat dijual pada harga paling kurang RM25 juta. Mungkin sekarang sudah melebihi RM30 juta

Mungkin alasan yang digunakan oleh kerajaan ialah tanah Kampung Baru berstatus tanah rezab Melayu dan tanah TRX adalah berstatus antarabangsa.

Kalau begitu, jika kerajaan benar-benar ikhlas, kerajaan ada kuasa untuk menukarkan status tanah Kampung Baru dari rezab Melayu kepada status antarabangsa.

Dan kerajaan boleh ganti balik tanah rezab itu di tempat lain seperti yang di peruntukan dalam Kanun Tanah Negara. Setelah tukar status rezab Melayu kepada tanah antarabangsa barulah kerajaan menawarkan harga sebenar (seperti harga TRX) kepada penduduk asal kampung baru.

Bila kita dengar berbagai pandangan yang disuarakan oleh penduduk Kampung Baru dalam program pagi tadi , kita tahu penduduk Kampung Baru tidak menolak pembangunan yang ingin dilakukan oleh kerajaan di Kampung Baru.

Tetapi mereka mahu kerajaan bersikap adil pada mereka. Mereka sudah bergenerasi tinggal disitu. Mereka sayangkan tanah pusaka mereka. Tapi kalau harga yang ditawarkan sesuai, pasti orang Kampung Baru bersedia untuk berbincang.

Kalau saya ada tanah di Kampung Baru pun saya tak akan setuju dengan harga RM850psf yang ditawarkan. Saya yakin menteri sendiri pun kalau ada tanah di Kampung Baru, tak akan setuju jual tanah beliau dengan harga serendah itu.

Orang Melayu sekarang dah bijak matematik, jangan main-main. – 22 September 2019.

ANUAR AHMAD,
Pensyarah UKM.

*Artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak semestinya mencerminkan pandangan NTHQiBord*

3 COMMENTS

  1. Betul tu. Skrg dah zaman millennium. Masih macam inikah mentaliti menteri yg dipilih rakyat? Bkn nak bantu rakyat mcm ni.

  2. kalau tukar kepada tanah antarabangsa, mampukah orang melayu beli hartanah yg sudah dimajukan.

Leave a Reply

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.