TINDAKAN kerajaan Pakatan Harapan menjual aset negara merugikan Malaysia dalam dua perkara, kata bekas Menteri Besar Selangor, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim.

“Kita kalah dua benda, harta itu sudah tidak ada lagi, dan hutang pula kita terpaksa cari duit lain untuk tambah lagi.

“Ini, kerajaan tidak ada duit, tapi hendak buat pembangunan, dan bagaimana caranya hendak jaga harta supaya jangan dijual pada harga yang tidak sesuai,” katanya.

Khalid berkata, apabila kerajaan sudah mula menjual asetnya untuk membayar hutang ia akan memberi gambaran bahawa negara dalam keadaan terdesak maka harga yang ditawarkan pembeli dibimbangi akan jatuh.

Katanya, keadaan itu seperti kerajaan sudah mula sampai ke tahap menjual kain bajunya.

“Kalau jual aset kerana hendak bayar hutang, atau kerana hendak biayai perbelanjaan operasi yang kita dah buat.

“Ini satu keadaan yang tidak akan menambah harta negara, bermakna kita sudah mula jual kain baju kita.

“Apa yang paling saya takut adalah apabila orang tahu syarikat hendak bankrap, harganya akan jatuh, itu sebabnya kita kena berjaga-jaga dalam buat urus niaga.

“Kita tidak boleh tunjukkan kita ghairah sangat hendak jual harta benda, sebabnya kita tidak cukup duit, maknanya orang sudah tahu, kalau orang nak beli sejuta, dia akan tawar hingga RM500,000,” jelasnya.

Sejak Pakatan Harapan mengambil alih kerajaan, Khazanah mencatatkan kerugian sebelum cukai sebanyak RM6.3 bilion pada 2018 yang kebanyakannya disebabkan kos melibatkan Malaysia Airlines Bhd (MAS).

Bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak antara paling lantang mengkritik langkah kerajaan berhubung pelupusan aset oleh Khazanah baru-baru ini termasuk menjual Pusat Perubatan Prince Court di ibu negara. – 22 September 2019.

Leave a Reply

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.