JOHOR BAHRU 13 APRIL 2019. Pengerusi Jawatankuasa Kesihatan, Alam Sekitar dan Pertanian negeri, Dr Sahruddin Jamal. NSTP/HAIRUL ANUAR RAHIM

KERAJAAN Negeri Johor Pakatan Harapan (PH) seolah-olah tidak bergerak untuk melaksanakan tanggungjawab memenuhi kehendak rakyat, kata Ketua UMNO Bahagian Johor Bahru, Tan Sri Shahrir Samad.

Beliau berkata situasi itu masih sama walaupun Johor telah menyaksikan pertukaran Menteri Besar.

Jelasnya, isu perumahan rakyat di negeri itu terutama untuk generasi muda masih kabur, sama ada projek baharu untuk dibeli atau sewa beli.

Sebaliknya, semua projek pembinaan yang sedang berjalan adalah dimulakan semasa pentadbiran Barisan Nasional (BN).

“Semuanya dibuat oleh pemerintah dulu. Dari pembesaran dan penambaik jalan-jalan utama dan jambatan di Kg Melayu Majidee adalah hasil perancangan sebelum PRU14. Tapi ada juga yang telah dihentikan.

“Adalah nyata sangat, walaupun negeri Johor telah bertukar menteri besarnya, seolah macam tidak ada kerajaan yang bergerak untuk melaksanakan tanggungjawab memenuhi kehendak rakyat,” katanya menerusi hantaran di Facebooknya.

Shahrir mengakui masalah besar di kawasan bandaraya Johor Bahru ialah kekurangan tanah yang boleh dibangunkan untuk penempatan generasi baru bandar dalam kawasan bandar.

Oleh sebab itu, kerajaan dulu telah bersetuju untuk mengambil balik tanah-tanah industri Larkin di seberang rel kereta api untuk dibangunkan sebagai penempatan baru generasi baru Johor Bahru.

Perancangan ini sepatutnya diteruskan supaya generasi baru Johor Bahru boleh kekal di situ.

Pengambilan semula tanah industri Larkin dan menukar kegunaan tanah dari industri ke perumahan akan memenuhi keperluan perumahan orang Johor Bahru tetapi itu hasrat kerajaan dulu.

“Yang sekarang, semacam kaku. Sudahlah sudah bertukar menteri besar, dari seorang yang menipu kelulusan akademiknya kepada seorang doktor tapi tetap lagi kerajaan “empat suku” yang tidak bermaya dan tidak ada haluan.

“Yang diutamakan perumahan swasta yang tidak terjual kerana ketamakan keuntungan pemaju-pemaju. Dan bukan untuk menyelesaikan keperluan rakyat biasa,” katanya. – 23 September 2019.

1 COMMENT

Leave a Reply

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.