BILA cakap pasal isu tanah Kampung Baru nak kena jual, bangsa Melayu sejak dulu memang pun dah ‘kena jual’. Cuma mereka sahaja yang tidak sedar yang mereka dah ‘kena jual’.

Tak percaya? Jom baca.

Utusan Malaysia pada 17 September 2014 telah membuat laporan khas berkaitan merosotnya tanah rezab Melayu di negara ini.

Dilaporkan bahawa “Semakin hari semakin mengecil keluasan Tanah Rizab Melayu iaitu daripada keluasan 3.1 juta hektar (23.92 peratus) pada tahun 1931 kepada 1.57 juta hektar (11.99 peratus) pada tahun 2009.”

Asal dulu Tanah Rezab Melayu diwujudkan untuk melindungi orang Melayu. Wujudnya konsep Tanah Rezab Melayu adalah bukti bahawa penjajah sendiri memperakui bahawa orang Melayu adalah ‘son of soil’ atau bumiputera negara ini.

Sebab itulah disediakan tanah rezab bagi orang Melayu. Banyak negara di dunia mempunyai peruntukan yang hampir sama.

Maka itu penjajah Inggeris bersetuju untuk wujudkan undang undang tanah untuk mempertahankan hak ini seperti yang sepatutnya.

Maka digubal dan diwartakan di bawah Enakmen Tanah Rezab Melayu 1913.

Tapi kajian oleh Dr Hasrol Haffiz Aliasak dari UiTM menunjukkan tanah rezab Melayu yang asalnya berjuta-juta hektar luasnya sebelum merdeka diseluruh negara hanya tinggal 11.99% sahaja pada tahun 2009.

Agaknya siapalah yang sanggup dan rakus sekali ‘menghilangkan’ tanah rezab Melayu sehingga tinggal 11% ini? Orang Cina kah? Ketua Kampung kah? atau pekerja asing dari Bangladesh? Tentulah tidak. Tentu anda tahu siapa.

Maknanya sejak 2009 lagi, fakta ilmiah dah menunjukkan Orang Melayu dah hilang banyak tanah Rezab Melayu. Tanah yang hilang pula ialah tanah Rezab Melayu berkualiti tinggi. Terutamanya di kawasan bandar besar dan lokasi strategik.

Semuanya ditukarkan menjadi tanah komersial. Bila dah dijual, orang Melayu iaitu pemilik asal tanah Rezab Melayu terpaksalah keluar dari tanah mereka. Dari ada tanah sendiri sekarang sudah tak ada lagi.

Merosot hingga 11% kerana tanah rezab Melayu yang diambil untuk tujuan pembangunan dan komersial tidak diganti semula sebagai yang sepatutnya. Akhirnya jumlahnya susut dengan ketara sekali.

Dalam tempoh beberapa tahun lagi, jika tidak dilakukan desakan supaya kerajaan membetulkan sikap mereka, mungkin istilah Tanah Rezab Melayu hanya akan tinggal nama sahaja atau mungkin sudah tidak akan ada lagi dalam istilah undang undang negara.

Sesuatu harus dilakukan segera untuk kembalikan hak penduduk asal yang dipersetujui bersama sejak tahun 1913 di bawah Enakmen Rezab Melayu. Kembalikan semula jumlah yang asal berjumlah 3 juta hektar. Itu sepatutnya.

Tanah rezab Melayu di dalam bandar besar seperti Kuala Lumpur dan Pulau Pinang mesti diwujudkan dan dipertahankan supaya masyarakat tidak hidup secara segregasi atau terpisah- pisah. Bayangkan satu bandar di dominasi oleh satu kaum sahaja?

Dulu BN ambil tanah Rezab Melayu. Sekarang PH pula nak ambil tanah Rezab Melayu. Dua-dua pun sama sahaja. Yang rugi orang Melayu juga akhirnya.

Apa salahnya kerajaan bantu bangunkan tanah Rezab Melayu tanpa perlu tanah rezab Melayu dijual oleh pemiliknya? – 23 September 2019.

ANUAR AHMAD,
Pensyarah UKM.

*Artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak semestinya mencerminkan pandangan NTHQiBord*

Leave a Reply

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.