NAMPAKNYA sudah ada isu baru untuk beberapa minggu akan datang. Selamat kembali UEC. ‘Meriah’ sungguh hidup di alam Malaysia Baharu.

Apa tidaknya, belum sempat kerajaan mengumumkan hasil akhir Laporan Kajian UEC (sepatutnya diumumkan pada akhir Ogos 2019), sudah ada pihak yang lebih awal bangkitkan isu UEC.

Bukankah semua pihak sudah bersetuju untuk menunggu pengumuman laporan tersebut? Sekali lagi kita ditunjukkan siapakah yang selalu menimbulkan isu perkauman di negara ini?

Apakah mereka suka melihat masyarakat bercakaran sesama sendiri? Apakah mereka tidak senang melihat orang Melayu, Cina dan India hidup dengan tenang?

Sudahlah begitu, kenyataan YB DAP ini pun kurang tepat. Boleh jadi beliau ‘naif’ tentang isu UEC. Tetapi saya lebih yakin beliau sengaja membuat kenyataan untuk mengelirukan masyarakat. Caranya, beliau campuradukkan isu SRJK dan UEC.

Sedangkan isu SRJK dan isu UEC ini berbeza sama sekali. Isu SRJK telah lama selesai. Sejak 1957 lagi. Termaktub dalam Penyata Pelajaran Razak. Majoriti rakyat negara ini dah setuju.

Kerajaan sejak merdeka telah mengiktiraf malah menyediakan peruntukan pada sekolah rendah jenis kebangsaan Cina dan Tamil. Semua SRJK menggunakan kurikulum kebangsaan dan diperakui oleh KPM.

Ini tolak ansur kerajaan walaupun SRJK menggunakan bahasa pengantar bahasa Mandarin dan Tamil. Sebab itu ada istilah ‘Jenis kebangsaan’ diberikan pada sekolah-sekolah ini. Sebagai bukti pengiktirafan tersebut telah diberikan.

Malah dengan sokongan kerajaan, SRJKC berkembang dengan baik. Sekarang terdapat lebih 80 ribu pelajar Melayu juga bersekolah di SRJKC.

Seterusnya pada tahun 1961 pula sebahagian besar sekolah menengah Cina juga diiktiraf di dalam Laporan Pelajaran Rahman Talib dan dimaktubkan dalam Akta Pelajaran 1961. Maka wujud SMJKC. Ini juga telah selesai dan diterima oleh majoriti rakyat Malaysia.

Isu UEC isu lain. Tidak sama dengan isu SRJK dan SMJKC. Isu UEC ialah isu berkaitan tuntutan Dong Zong mahu sistem peperiksaan persendirian untuk 60 sekolah persendirian Cina diiktiraf oleh kerajaan.

Peperiksaan UEC digunakan kerana sekolah-sekolah persendirian Cina ini secara sukarela atas keputusan sendiri tidak bersetuju menjadi Sekolah Menengah Jenis Kebangsaan Cina (SMJKC).

Mereka tidak mahu menggunakan bahasa Kebangsaan sebagai bahasa pengantar di sekolah mereka. Oleh itu, atas dasar tolak ansur, kerajaan pada 1961 telah membenarkan 60 buah sekolah Menengah persendirian Cina terus beroperasi sebagai sekolah persendirian atau swasta.

Pada tahun 1975, Dong Zong yang mewakili 60 buah sekolah persendirian Cina telah menuntut supaya kerajaan membenarkan UEC dilaksanakan oleh sekolah persendirian Cina.

Walaupun pada peringkat awalnya Tun Mahathir selaku Menteri Pelajaran menolak tuntutan Dong Zong, tetapi akhirnya telah bersetuju untuk membenarkan perlaksanaan UEC ketika itu.

Rasionalnya, pihak kerajaan melihat UEC adalah sistem peperiksaan yang bukan di bawah kementerian dan diuruskan oleh pihak swasta sepenuhnya. Dibenarkan beroperasi sebagai peperiksaan swasta dan bukan peperiksaan awam.

Tetapi selepas UEC dibenarkan beroperasi pada 1975, Dong Zong mahu lebih dari itu. Sekarang mereka menuntut pula supaya sijil UEC diiktiraf seperti mana Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) dan Sijil Tinggi Pelajaran Malaysia (STPM).

Dong Zong tuntut sijil UEC diiktiraf oleh kerajaan Malaysia tapi mereka pula tak mahu menggunakan bahasa Melayu sebagai bahasa pengantar seperti yang diperuntukkan dalam Perlembagaan Malaysia.

Secara jelas peruntukan Perkara 152 melarang penggunaan bahasa lain selain Bahasa Kebangsaan bagi semua urusan RASMI negara. Termasuklah dalam soal urusan rasmi persijilan pendidikan. Sijil UEC jika mahu diiktiraf bermakna itu urusan rasmi negara. Sedangkan peperiksaan UEC sendiri bukan dalam bahasa kebangsaan.

Bolehkah UEC diiktiraf oleh Menteri Pelajaran? Tentu sahaja boleh, dengan syarat Menteri Pelajaran kena bersedia “melanggar” dahulu peruntukan Perkara 152 Perlembagaan Persekutuan Malaysia.

Beliau juga kena “langgar” Akta Bahasa Kebangsaan 1963/67 dan ‘langgar’ sekali Dasar Kebudayaan Kebangsaan.

Dengan kata lain untuk memenuhi tuntutan Dong Zong, Menteri Pelajaran kena ‘langgar’ semua tunggak utama Kenegaraan Malaysia.

Tidak timbul langsung usaha menolak pengiktirafan UEC adalah tindakan rasis atau perkauman. Ini adalah usaha mematuhi Perlembagaan Malaysia oleh semua rakyat Malaysia tanpa mengira latar belakang politik. – 23 September 2019.

ANUAR AHMAD,
Pensyarah UKM.

*Artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak semestinya mencerminkan pandangan NTHQiBord*

2 COMMENTS

  1. Itu lah atau kebaikan bangsa Melayu sangat bertoleransi. Tetapi malangnya sifat bertoleransi yang tinggi ini telah digunakan oleh bangsa Cina yang kebanyakannya peyokong DAP untuk mendapatkan lebih lagi keistimewaan bagi bangsa Cina. Jika orang Melayu terus bertoleransi, tidak mustahil suatu hari nanti Malaysia akan diperintah oleh seorang Maharaja Cina

  2. UEC sejujurnya memang tak boleh diiktiraf di Malaysia ,kita tak mampu ada dua sistem peperiksaan banyak buruk dari baik .ini Malaysia Baru ,dong zong malaya lama biar kan dia memekak DAP dalam Malaysia baru .Kamsia hò ho kaliao.

Leave a Reply

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.