KERAJAAN Barisan Nasional (BN) tidak pernah membuat tawaran RM300 bagi setiap kaki persegi untuk tanah Kampung Baru, kata Datuk Seri Najib Razak.

Katanya, jika tawaran itu benar-benar berlaku di bawah pentadbirannya, sudah lama Menteri Wilayah Persekutuan, Khalid Abdul Samad berguling di sana.

Malah, Datuk Seri Dr Mujahid Yusof dan Mohamad Sabu juga sudah tidur di tepi-tepi jalan di Kampung Baru.

“Kenapa tak ada? Masa itu korang tengah sibuk makan steamboat kepala ikan ke?,” tanya Najib.

Beliau mengulas kenyataan Khalid yang membuat kenyataan bahawa kerajaan kemungkinan menawarkan harga lebih tinggi daripada RM850 kaki persegi kepada pemilik tanah Kampung Baru.

Terdahulu, Khalid mendedahkan tawaran harga oleh kerajaan Barisan Nasional (BN) di bawah pimpinan Najib selaku Perdana Menteri adalah lebih rendah (sekitar RM300 sekaki persegi) berbanding di bawah Pakatan Harapan (PH) sekarang RM850 sekaki persegi.

Katanya, beliau akan bertemu dengan Perdana Menteri, Tun Mahathir Mohamad, dalam masa terdekat bagi memuktamadkan harga sebenar tanah di Kampung Baru.

Malah, Khalid mendakwa pemaju dua projek besar iaitu Projek UDA Legasi dan Rah Residensi membeli tanah Kampung Baru dengan harga RM400 per kaki persegi, beberapa tahun lalu.

“Jadi, saya tidak mahu cakap banyak kerana dia (Najib) hanya menawarkan RM300 sekaki persegi dan sekarang saya umumkan tawaran kerajaan untuk membeli tanah Kampung Baru RM850… Lepas itu dia katakan saya tawarkan murah tetapi anda boleh menilai sendiri,” ujarnya baru-baru ini. – 24 September 2019.

Leave a Reply

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.