SATU kongres yang melibatkan hal-hal orang Melayu yang dipanggil Kongres Maruah Melayu (Tanah Aku) akan diadakan tidak lama lagi, namun ianya amat berbeza dengan himpunan Melayu sebelum ini.

Penganjur kali ini melibatkan kumpulan akademik daripada gabungan empat buah universiti tempatan dan bukan daripada kalangan parti politik.

Namun belum pun bermula, cadangan kongres ini telah “diserang” dan mendapat respon yang negatif dari pihak pemimpin parti politik yang meletakkan Kongres Maruah Melayu Tanah Aku sebagai pesaing kepada Himpunan Ummah UMNO-PAS.

Mengapakah kongres ini perlu diserang sedangkan pengisiannya adalah perbincangan secara intelektual yang membincangkan hal-hal yang membabitkan orang Melayu.

Antara pembabitannya adalah ahli akademik Universiti Malaya (UM) bagi pandangan sudut politik orang Melayu manakala penglibatan golongan intelektual Universiti Teknologi Mara (UiTM) pula akan membawa kepada kajian solusi ekonomi Melayu.

Universiti Putra Malaysia (UPM) pula akan membentangkan tentang budaya Melayu dan Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) pula akan membawa kajian tentang pendidikan di kalangan orang Melayu.

Kumpulan ini harus diberi peluang kerana ianya bukan berkisar kepada politik semata-mata, bukan melibatkan himpunan yang melibatkan kepentingan politik seperti Himpunan Ummah yang membabitkan dua parti besar Melayu, tetapi bagi merungkai masalah yang dihadapi oleh orang Melayu dan penyelesaiannya dari sudut ekonomi, pendidikan serta budaya.

Pihak Jaringan Melayu Malaysia (JMM) amat menyokong dan sentiasa bersama dalam apa sahaja penganjuran himpunan yang membabitkan kepentingan Melayu walau siapa sahaja yang menganjurkan baik daripada kumpulan NGO mahupun parti Melayu.

Masing-masing mempunyai agenda tersendiri iaitu Melayu, apalah salahnya jika kita semua mempunyai sikap keterbukaan terhadap kongres ini yang jelas bukan bersifat kepentingan kepada kumpulan parti politik.

Kemungkinan ini juga adalah satu titik kesamaan untuk semua pihak dan parti Melayu seperti UMNO, PAS,PAN, BERSATU jika dapat bersama di dalam kongres ini agar mula memikirkan tentang hal orang Melayu daripada bercerita tentang peluang politik masing-masing yang akhirnya tidak dapat membantu orang Melayu seperti yang berlaku pada situasi hari ini. – 24 September 2019.

HAMDAN MOHD SALLEH,
Ketua Setiausaha Jaringan Melayu Malaysia.

3 COMMENTS

  1. Isu nya bukan kerana pesaing kpd Himpunan Ummah, tetapi siapakah tangan-tangan disebalik kongres ini. Jikalau ia didalangi oleh mereka yg tidak bermaruah disebelah sana, lupakan sahaja. Dikuatiri maruah orang Melayu akan terus terhakis serta orang Melayu terus berpecah belah. Kami kuatir kongres ini akan dijadikan satu medan untuk mengembalikan maruah populariti seorang pemimpin politik yang kian terhakis bukannya memperjuangkan maruah orang Melayu. Apa pentingnya kumpulan akademik dan golongan intelektual membincangkan maruah Melayu sekarang. Akhirnya nanti daripada keputusan yang dibuat oleh kongres sudah tentu pelaksananya nanti akan kembali semula kepada penguasa politik yang memerintah sekarang. Amat tidak wajar dan tidak lojik untuk menaruh harapan kepada penguasa politik yang tidak bermaruah untuk mengembalikan serta menyelesaikan maruah orang Melayu melainkan untuk memecah belahkan mereka. Kami berpendapat Piagam Mufakat Nasional lebih comprehensif bukan sahaja untuk menyatukan orang Melayu malah untuk mengembalikan maruah orang Melayu yang sedang diperkotakkatik sekarang.

  2. Tak payah lah banyak2 sangat kongres yang nak diadakan…bertambah celaru dan bertambah serabut..sebaik baiknya kita hendaklah fokus kpd ajenda utama skg…iaitu penyatuan ummah…

Leave a Reply

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.