TERTARIK saya dengan berita ini.

Seorang pelajar wanita berbangsa Cina melakukan 4 jenis pekerjaan ‘part time’ selain belajar sepenuh masa di universiti. Bayangkan jika anda di tempat beliau melakukan empat pekerjaan? Apa rasanya?

Beliau bekerja kerana ingin membiayai pengajian dan menyara keluarga. Pelajar ini bukan anak keluarga kaya. Beliau adalah seorang pelajar dari keluarga yang miskin.

Sejak dulu saya kurang setuju bila instrumen etnik digunakan oleh kerajaan bagi tujuan membasmi kemiskinan. Cukuplah kita belajar dari ‘kegagalan’ perlaksanaan DEB sejak 1970 lalu.

Walaupun program DEB dikatakan ramai orang telah berjaya tetapi sebenarnya adalah satu kejayaan yang hanya bersifat purata bukan menyeluruh.

Pada saya menggunakan etnik sebagai kaedah menghapuskan kemiskinan adalah tidak tepat. Kemiskinan tidak kenal latar belakang, warna kulit, agama dan budaya. Kemiskinan tidak kenal anda Melayu, Cina atau India.

Sebab itu di era Malaysia Baharu, cara kita melihat kemiskinan tidak boleh lagi boleh berasaskan etnik. Hari ini bukan lagi seperti di tahun 1970. Ketika itu DEB dirangka dan dilaksanakan pada saat kita masih dalam keadaan ‘trauma perkauman’ akibat 13 Mei 1969.

Minda masyarakat ketika itu “tertawan” sehingga mengandaikan kemiskinan boleh diselesaikan dengan cara aturan penyelesaian mengikut garis etnik.

Sehingga hari ini masih ramai yang miskin. Data terkini menunjukkan secara relatifnya 20% rakyat Malaysia dalam kemiskinan. Sebab itu sangat salah untuk menyakini bahawa kemiskinan ada kaitan dengan etnik.

Walaupun kita selalu dibentangkan secara purata Melayu adalah paling miskin dan etnik Cina adalah paling kaya, itu hanyalah purata. Purata hanya untuk tujuan perbincangan ekonomi sahaja. Sedangkan perut yang lapar tidak kenal angka purata.

Di Malaysia ada ramai Melayu yang miskin tetapi ramai juga Melayu yang kaya raya. Tapi bila dipuratakan, dibuat rumusan bahawa Melayu dalam kumpulan miskin.

Sedangkan ramai Melayu rumahnya bagaikan istana. Kereta bersusun di depan rumah. Umrah sekeluarga setiap tahun. Melancung pula bila terasa nak pergi tanpa perlu menyimpan sedikit demi sedikit. Anak isteri hidup bermewahan.

Tapi kerana mereka Melayu dan bumiputera, mereka tetap dapat hak ekonomi yang kerajaan rancangkan untuk bantu Melayu miskin.

Berapa ramai anak orang kaya Melayu dapat kemudahan belajar di asrama penuh walaupun di rumah mereka banyak bilik tidur yang kosong sahaja?

Berapa ramai anak Melayu yang kaya dapat bantuan kerajaan belajar di luar negara dengan tajaan kerajaan walaupun keluarga mereka setiap tahun melancong ke luar negara dengan duit sendiri?

Hanya kerana namanya Melayu, mereka dapat semua itu dengan menafikan realiti masih ramai orang miskin di negara ini. Begitukah yang sepatutnya?

Sebab itu saya sokong bila asrama penuh di bawah kerajaan sekarang memberikan keutamaan pada pelajar miskin.

Sebab itu juga saya sokong kadar yuran pengajian di universiti awam.mesti dinisbahkan dengan pendapatan ibubapa.

Sebab itu saya pernah cadangkan yuran penginapan di kolej kediaman universiti awam mestilah dilihat pada pendapatan keluarga.

Oleh kerana kolej kediaman di universiti awam adalah terhad, saya sokong penuh dasar penginapan pelajar UKM yang memberikan keutamaan pada para pelajar B40 terlebih dahulu. Itulah yang sepatutnya dilakukan.

Begitulah juga secara purata data ekonomi menunjukkan orang Cina adalah etnik yang paling kaya di negara ini. Kerana kita terlalu asyik melihat angka purata kita terlupa ramai orang Cina yang miskin dan perlukan bantuan kerajaan.

Hanya kerana namanya Cina dan bukan Bumiputera, ada orang Cina yang tidak dapat peluang untuk belajar, pinjaman modal, latihan dan berbagai bantuan oleh pihak kerajaan.

Saya kenal ramai pelajar Cina yang saya ajar datangnya dari keluarga miskin. Ada ayahnya penanam sayur di atas tanah yang disewa, ada ayahnya pemandu lori sewa dan ada ibunya mengambil upah kerja buruh.

Ada ramai pelajar India, ibubapa mereka pekerja buruh dan kilang. Ada ramai yang berniaga di tepi jalan. Bukan semuanya kaya.

Malaysia baharu sepatutnya lebih adil pada semua kaum. Dahulukan yang miskin tanpa mengira latar belakang etnik mereka.

Bantu mereka kerana mereka rakyat Malaysia. Jika ada Melayu, Cina atau India yang sudah kaya, kerajaan tidak sepatutnya terus melindungi mereka.

Kerajaan harus bantu Melayu, Cina dan India yang miskin. Itu baru namanya kerajaan yang adil. – 24 September 2019.

ANUAR AHMAD,
Pensyarat UKM.

*Artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak semestinya mencerminkan pandangan NTHQiBord*

Leave a Reply

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.