KONGRES Maruah Melayu Tanah Aku perlu disokong oleh semua pihak termasuk NGO dan parti politik berasaskan Melayu, Islam demi mengembalikan kuasa orang Melayu, kata Jalinan Bersatu Sahabat Perak (JABAT).

Presidennya, Amiruddin Mohd Daud berkata, kongres ini jauh berbeza jika dibandingkan dengan Himpunan Ummah yang lebih melihatkan penyatuan dua parti politik iaitu UMNO dan PAS.

Jelasnya, pihaknya menyokong apa sahaja usaha yang melibatkan perpaduan Melayu-Islam, khasnya Kongres Maruah Melayu Tanah Aku yang dipelopori oleh kumpulan akademik.

Jelasnya, penglibatan golongan akademik dapat merencanakan perbincangan secara serius tentang usaha membantu Melayu melalui saluran politik, pendidikan, ekonomi serta budaya.

“Penganjuran kongres ini tidak ada masalah yang besar dan sebagai kumpulan NGO, maka kami memberi sokongan kepada penganjuran ini malah pihak kami berterima kasih kepada pihak penganjur yang boleh menjayakan kongres yang akan bicara tentang perkara perkara teras untuk membantu Melayu dari bukan sudut politik.

“Jika mereka ikhlas mereka akan membuktikan bahawa dengan adanya faktor perpaduan Melayu di dalam semua perkara maka kita akan melihat satu anjakan paradigma untuk menembalikan kuasa orang Melayu,” katanya dalam satu kenyataan.

JABAT merupakan gabungan 53 NGO Melayu Islam di seluruh Perak.

Amiruddin mengulas mengenai penganjuran Kongres Maruah Melayu Tanah Kita yang dijangka berlangsung pada bulan depan dengan melibatkan ahli akademik daripada empat universiti.

Antaranya universiti terlibat adalah Universiti Malaya, Universiti Teknologi Mara, Universiti Putra Malaysia dan Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI).

Setiap universiti itu akan menghantar wakil akademik masinng-masing bagi membincangkan masalah yang dihadapi orang Melayu sejak kebelakangan ini. – 24 September 2019.

1 COMMENT

  1. Tidak dinafikan orang Melayu ketinggalan dari segi tahap pendidikan, penguasaan ekonomi dan kematangan dalam politik. Justeru, untuk mengubah nasib orang Melayu kini memerlukan sokongan dari Kerajaan dan iltizam untuk mengubah nasib sendiri. Seperti Firman Allah Taala dalam al-Quran “Allah tidak mengubah nasib sesuatu kaum melainkan mereka mengubah nasib mereka sendiri”. Pada pandangan peribadi saya, kematangan untuk berfikir dan kesedaran untuk mempertahankan maruah bangsa perlu dipupuk oleh anak-anak Melayu sejak kecil lagi. Saya berimpian untuk melihat bangsa Melayu sebagai bangsa yang disegani umumnya dengan kebaikan, sumbangan kepada dunia dan nilai-nilai murni. Akhir sekali, saya amat setuju Kongres Maruah Melayu Tanah Aku ini dianjurkan untuk memberi kesedaran kepada anak-anak Melayu bahawa mereka adalah generasi penting sebagai penyambung warisan tanah air tercinta ini. Seringkasnya, mereka harus sedar adalah tanggungjawab yang akan dipikul mereka dan bersedia memainkan peranan untuk membangunkan negara dan mempertahankan agama serta bangsa.

Leave a Reply

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.