HARAPAN penduduk Sungai Kedondong di Paya Jaras Hilir untuk mempertahankan kediaman mereka dibalas dengan amaran keras oleh Kerajaan Negeri Selangor.

Dalam satu surat yang dikongsi Pengerusi Jawatankuasa Bertindak Penduduk Paya Jaras Hilir, Azroy Manaf, kerajaan negeri di bawah Pakatan Harapan memberi masa 14 hari bermula hari ini kepada penduduk mengosongkan kawasan tersebut.

Surat bertarikh 24 September itu menyatakan bahawa penduduk melakukan kesalahan kerana menduduki tanah kerajaan dan boleh dikenakan denda RM500,000 atau penjara selama 5 tahun jika gagal mematuhi arahan.

Surat yang dikeluarkan oleh Pentadbir Daerah/Tanah Petaling Jaya itu juga mengingatkan penduduk agar mematuhi arahan pengosongan atau bakal dikenakan tindakan undang-undang.

“Sekiranya tiada tindakan pengosongan dilakukan oleh pihak tuan/puan dalam tempoh yang ditetapkan, tindakan meroboh serta memusnahkan premis/binaan/tanaman milik tuan/puan akan dikuatkuasakan.

“Pentadbir Tanah tidak akan bertanggungjawab ke atas sebarang kerugian atau kerosakan harta benda milik tuan/puan di atas tindakan tersebut,” kata surat itu.

Pada Rabu lepas, operasi perobohan rumah dilaksanakan ke atas premis dan kediaman berhampiran Sungai Kedondong, Paya Jaras yang dibina di atas tanah rizab milik Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS).

Perobohan itu dilaksanakan bagi memberi laluan kepada projek pelebaran sungai dalam usaha untuk mengatasi isu banjir di kawasan terbabit.

Bagaimanapun, operasi itu mendapat bantahan penduduk terlibat yang mendakwa kerajaan negeri memberikan notis yang singkat.

Sebelum perobohan itu dilaksanakan, mereka turut memohon untuk menetap di tapak berkenaan sehingga akhir tahun ini.

Malah menurut penduduk, pihak penguatkuasa langsung tidak bertolak ansur agar memberi mereka masa untuk menyelesaikan masalah itu, sebaliknya bertindak merobohkan puluhan rumah penduduk.

Akibatnya, puluhan keluarga kehilangan tempat tinggal sekelip mata dan terpaksa bermalam di khemah yang didirikan oleh ahli PAS. – NTHQiBord, 24 September 2019.

Leave a Reply

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.