SIKAP membisu Bank Negara Malaysia (BNM) seolah-olah bank pusat itu memberi persetujuan secara diam-diam kepada pihak bank mengenakan caj tambahan kepada pelanggan, kata Persatuan Pengguna Pulau Pinang (CAP).

Presiden CAP, Mohideen Abdul Kader berkata, bank-bank tertentu telah mengumumkan bahawa bermula 1 Oktober 2019 mereka akan mengenakan caj RM0.50 bagi transaksi di CRM/CQM dan RM2.00 bagi transaksi di kaunter.

Bagaimanpaun katanya, BNM masih belum menjawab persoalan yang dikemukakan oleh pihaknya mengenai tindakan bank pusat itu membenarkan bank-bank mengenakan bayaran transaksi bagi mesin pengeluaran tunai, mesin deposit cek dan bayaran transaksi di kaunter.

Jelasnya, CAP sudah pun menerima aduan mengenai perkara ini pada Mei tahun ini dan pengadu menyatakan bahawa Public Bank mengenakan caj RM0.50 untuk bayaran semula pinjaman perumahan dan bayaran kad kredit di CRM.

“Apabila salah seorang daripada pegawai kami bertanyakan mengenai perkara itu, mereka diberitahu oleh pegawai Public Bank bahawa ia adalah dasar baharu bank dan jika pelanggan tidak mahu membayar bayaran transaksi maka mereka perlu memilih perbankan dalam talian.

“Seterusnya kami telah menulis kepada Bank Negara Malaysia (BNM) untuk menyatakan bantahan kami terhadap bayaran transaksi baharu serta mempersoalkan BNM kenapakah mereka membenarkan bank mengenakan bayaran ini.

“Setakat ini tiada maklum balas daripada BNM berhubung perkara ini,” katanya dalam satu kenyataan.

Mohideen berkata, ini bukanlah pertama kali pihaknya membawa isu pelaksanaan dasar yang tidak adil oleh bank kepada BNM dan ia begitu mengecewakan apabila BNM kurang memberi perhatian kepada kebajikan rakyat.

“Contohnya, sebelum ini jika wang dikeluarkan daripada akaun simpanan tetap (fixed deposit) sebelum tarikh matang, pemegang akaun masih boleh mendapat sedikit hasil; bagaimanapun sebagai denda kadar faedah akan diturunkan kepada kadar faedah yang sama dengan akaun simpanan, yang mana lebih rendah berbanding kadar faedah akaun FD.

“Bagaimanapun, bermula 1 Januari 2019, jika wang dikeluarkan daripada akaun FD sebelum tarikh matang, walaupun satu hari, semua hasilnya hilang. Kami membawa perkara ini kepada BNM memandangkan ia tidak adil kepada mereka yang mendepositkan wang mereka ke dalam akaun FD.

“Bank akan menggunakan wang pelanggan mereka, tetapi jika wang itu dikeluarkan daripada akaun FD sebelum tarikh matang disebabkan wang itu amat diperlukan bagi tujuan kecemasan (sepertimana dalam kes yang melibatkan ramai orang tua) maka mereka kehilangan apa yang sepatutnya mereka perolehi.

“BNM hanya memberikan jawapan kepada perkara ini dengan menyatakan bahawa ia adalah “keputusan perniagaan” dan bank dibenarkan untuk melaksanakan dasar akaun FD tersebut,” ujar beliau.

Sehubungan itu, CAP meminta BNM menghentikan daripada membenarkan bank mencekik darah pelanggan memandangkan mereka sudahpun mengaut keuntungan.

Tegas Mohideen, bank mestilah tidak dibenarkan untuk mengambil untung lebih daripada keuntungan yang sudah pun dibuat oleh mereka daripada pelanggan mereka dengan melaksanakan dasar yang tidak adil. – 25 September 2019.

Leave a Reply

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.