AHLI perniagaan dalam buruan, Low Taek Jho atau Jho Low perlu diheret ke mahkamah secepat mungkin bagi menegakkan keadilan dalam kes perbicaraan 1Malaysia Development Board (1MDB) yang melibatkan Datuk Seri Najib Razak.

Peguam Najib, Tan Sri Muhammad Shafee Abdullah memberitahu Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur bahawa Jho Low perlu dibawa pulang segera ke Malaysia untuk memberi keterangan bagi mencari kebenaran dalam kes melibatkan bekas perdana menteri itu.

Shafee berkata demikian dalam hujah permohonan khabar angin terhadap keterangan bekas ketua pegawai eksekutif 1MDB Shahrol Azral Ibrahim Halmi.

“Kira-kira sebulan dahulu Ketua Polis Negara mengatakan bahawa mereka (polis) telah mendapat Jho Low dan mereka tahu di mana keberadaan beliau.

“Perdana Menteri dan Timbalan Perdana Menteri berkata mereka mesti mendapatkan Jho Low.

“Saya ingin agar Jho Low dibawa secepat mungkin agar kita dapat menentukan kebenaran.

“Keadilan semula jadi akan tersingkir kerana saya tidak berpeluang untuk menyoal balas Jho Low,” katanya.

Shahrol Azral, 49, ketika memberi keterangan semalam sebagai saksi pendakwaan kesembilan dalam perbicaan Najib yang membabitkan penyalahgunaan RM2.3 bilion dalam dana 1MDB telah menggambarkan hubungan erat antara bekas perdana menteri itu dengan Jho Low.

Muhammad Shafee membantah keterangan itu dengan berkata itu cuma ’khabar angin’ tiada sesiapa yang dapat membuktikan apa yang diperkatakan oleh saksi tanpa keberadaan Jho Low.

“Saya kemukakan bahawa keterangan khabar angin tidak boleh diterima melainkan Jho Law dibawa ke mahkamah,” bantahnya.

Beliau menambah bahawa apa juga yang saksi dengar daripada Jho Low mungkin tidak benar kerana saksi kelapan Amhari Efendi Nazaruddin yang merupakan bekas pegawai khas Najib dalam keterangannya telah melabelkan Jho Low sebagai ‘pakar pemanipulasi’.

“Mengapa kita mesti menerima kata-kata beliau (Jho Low) apabila dia memanipulasi keseluruhan TIA, 1MDB dan PM (Perdana Menteri) itu sendiri,” katanya.

Najib, 66, menghadapi empat pertuduhan menyalahgunakan kedudukannya untuk menerima rasuah RM2.3 bilion daripada dana 1MDB dan 21 pertuduhan pengubahan wang haram membabitkan wang yang sama.

Ahli Parlimen Pekan itu dituduh melakukan empat kesalahan itu di AmIslamic Bank Berhad, Cawangan Jalan Raja Chulan, Bukit Ceylon di Kuala Lumpur antara 24 Februari 2011 dan 19 Disember 2014, dan untuk 21 lagi pertuduhan antara 22 Mac 2013 dan 30 Ogos 2013, di tempat yang sama. – NTHQiBord, 25 September 2019.

Leave a Reply

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.