LAMAN Facebook rasmi Kementerian Wilayah Persekutuan di bawah Khalid Samad ‘kantoi’ menyindir penduduk Kampung Bharu dengan menyamakan kawasan orang Melayu itu sebagai ‘Rumah Paku’.

Dalam hantaran yang disiarkan 23 September lalu, pengendali Facebook kementerian itu menyatakan tentang maksud Rumah Paku iaitu rumah yang enggan dirobohkan pemiliknya di tengah-tengah projek pembangunan.

Status itu menerima kecaman ramai pihak terutamanya netizen yang menganggap hantaran yang disertakan beberapa keping gambar rumah di tengah jalan raya di China, adalah bertujuan untuk memerli penduduk Kampung Bharu kerana menolak tawaran kerajaan untuk pembelian tanah mereka.

Bagaimanapun pengendali Facebook itu bertindak memadamkan hantaran tersebut selepas dikecam teruk netizen.

“Admin benar-benar mohon maaf di atas posting mengenai Rumah Paku yg menyinggung perasaan warganet.

“Perkara ini amat tidak disengajakan dan berharap ianya tidak dipanjangkan lagi. Posting tersebut tidak berniat apa-apa,” kata pengendali laman media sosial tersebut.

Beberapa hari sebelumnya, Khalid menerima tamparan memalukan apabila tawarannya bagi pihak kerajaan untuk membeli tanah Kampung Bharu ditolak mentah-mentah oleh penduduk kawasan Melayu itu.

Malah lebih memalukan, Khalid turut diejek dalam sesi townhall bersama penduduk Kampung Bharu.

Tidak cukup dengan itu, Khalid dimalukan pula oleh bekas Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak yang mempersoalkan jumlah tawaran yang diberikan kepada penduduk oleh Pakatan Harapan dengan nilai RM850 kaki persegi sedangkan nilainya lebih daripada itu. – 25 September 2019.

Leave a Reply

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.