RAKYAT akan terus meragui sistem perundangan negara selagi Tommy Thomas tidak dilucutkan jawatan sebagai Peguam Negara, kata Dewan Pemuda PAS Malaysia (DPPM).

Ketua DPPM, Ir Khairil Nizam Khirudin berkata, pihaknya mengikuti secara rapat perkembangan prosiding komital yang difailkan oleh keluarga arwah Muhamad Adib Kassim ke atas Tommy.

Khairil berkata, mengikut alasan penghakiman tersebut yang membenarkan prosiding komital diteruskan, Hakim Mahkamah Koroner telah mendapati wujudnya sebab yang munasabah bahawa tindakan Tommy adalah suatu penghinaan kepada mahkamah.

Jelasnya, tindakan Tommy sepanjang mengendalikan kes inkues ini seolah-olah wujudnya ‘scandalize’ dalam perjalanan kes ini dan seolah-olah suatu lakonan serta proses ‘rubber-stamping’ berdasarkan pendirian yang telah diambil oleh beliau sebelum inkues diputuskan.

“Berdasarkan alasan penghakiman tersebut, DPPM melahirkan kebimbangan terhadap sistem perundangan negara yang kini seperti telah dicemari melalui tindakan Tommy tersebut.

“Dengan keputusan penghakiman ini, kewujudan Tommy sebagai Peguam Negara akan menjadi suatu liabiliti kepada institusi perundangan dan kehakiman negara.

“Jika perkara ini tidak ditangani, masyarakat akan mula berasa ragu dengan sistem perundangan negara, serta hilang kepercayaan terhadapnya sedikit demi sedikit.

“Keadaan ini pastinya akan membawa ketidakharmonian serta ketegangan di Malaysia,” katanya dalam satu kenyataan.

Sehubungan itu, Khairil mendesak agar Tommy Thomas dilucutkan jawatan dan Peguam Negara ditukar dengan segera bagi mengembalikan kedaulatan undang-undang.

Beliau juga menggesa kerajaan agar mengambil tindakan tegas bagi mengembalikan kedaulatan undang-undang dan kepercayaan rakyat terhadap sistem perundangan.

“Tukar Peguam Negara dengan segera. Kegagalan Tommy Thomas dalam menjalankan tugas, serta tingkahlaku beliau di dalam prosiding inkues ini adalah suatu yang tidak boleh diterima.

“Perbetulkan keadaan sebelum rakyat hilang terus kepercayaan terhadap sistem perundangan negara,” tegas Khairil. – 25 September 2019.

Leave a Reply

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.