BEKAS Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak tidak pernah mengarahkan pengurusan 1Malaysia Development Berhad (1MDB) untuk mengikut arahan daripada Low Taek Jho aka Jho Low, kata saksi.

Bekas Ketua Pegawai Eksekutif 1MDB, Datuk Shahrol Azral Ibrahim Halmi mendedahkan perkara itu kepada Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur dalam perbicaraan kes 1MDB melibatkan Najib.

“Datuk Seri Najib tidak pernah memberitahu saya untuk mengikut arahan Jho Low,” kata Shahrol sebagai saksi ke-9 di hadapan Hakim Collin Lawrence pada hari ke-12 perbicaraan.

Bagaimanapun, Shahrul hanya bersandarkan kepada ‘bayangan’ yang diberi oleh Najib supaya beliau mengikut arahan Jho Low.

Shahrol Azral yang juga saksi pendakwaan kesembilan berkata demikian ketika menjawab soalan tambahan Timbalan Pendakwa Raya, Datuk Seri Gopal Sri Ram, pada sesi pemeriksaan balas.

Sri Ram: Adakah tertuduh (Najib) beritahu kamu untuk mengikut arahan Jho Low?

Shahrol Azral: Najib tidak pernah beritahu saya secara langsung untuk ikut arahan Jho Low, bagaimanapun beliau ‘membayangkan’ demikian beberapa kali ketika saya bertanya kepadanya untuk membawa balik dana itu.

Ia berlaku pada tahun 2010 atau 2011 apabila Najib beritahu saya untuk bercakap dengan Jho Low.

Najib, 66, menghadapi empat pertuduhan menyalahgunakan kedudukannya untuk menerima rasuah RM2.3 bilion daripada dana 1MDB dan 21 pertuduhan pengubahan wang haram membabitkan wang yang sama.

Ahli Parlimen Pekan itu dituduh melakukan empat kesalahan itu di AmIslamic Bank Berhad, Cawangan Jalan Raja Chulan, Bukit Ceylon di Kuala Lumpur antara 24 Februari 2011 dan 19 Disember 2014, dan untuk 21 lagi pertuduhan antara 22 Mac 2013 dan 30 Ogos 2013, di tempat yang sama. – NTHQiBord, 25 September 2019.

Leave a Reply

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.